Hasil inovasi dan kreativiti warga pendidik yang menarik dan di luar ‘kotak’ dilihat mampu meningkatkan mutu dan kualiti sistem pendidikan negara pada masa hadapan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, inovasi yang dilakukan guru-guru ini boleh dimanfaatkan secara meluas kerana tidak menggunakan kos yang tinggi selain mengambil masa yang cepat serta pendekatan yang mudah.

Radzi berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga bersedia memberi perhatian kepada segala usaha inovasi dan inisiatif yang dihasilkan oleh para guru untuk dikembangkan kepada sekolah lain.

“Saya telah maklumkan kepada Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid mengenai perkara ini apakah inisiatif dan ikhtiar yang boleh dilakukan supaya ia dapat dikembangkan ke sekolah lain pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Apresiasi Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, Kelantan.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Aminudin Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Pada majlis berkenaan, Radzi menyampaikan anugerah kepada 27 orang guru merangkumi pelbagai kategori seperti Anugerah Ikon, Anugerah Cikgu Juara Digital,  Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Khas Pendidikan.

RADZI Jidin bersama guru-guru yang menerima Anugerah pada Majlis Apresiasi FGM 2022 di UMK Bachok, Kelantan.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, sudah tiba masanya untuk membuat perubahan terhadap struktur pendidikan negara supaya mampu bersaing dengan negara luar.

“Jika dunia berubah tetapi kita masih lagi dengan pendekatan lama, kita akan terus ketinggalan…Kita ketinggalan bukan sebab berada di belakang tetapi sebab negara lain terus ke depan.

“Dalam konteks pendidikan, kita bukan sahaja bersaing dengan jiran- jiran, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri tetapi kita bersaing di peringkat dunia,” ujarnya.