Konsep Sekolahku SEJAHTERA sentiasa menjadi pendekatan utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meningkatkan eksplorasi bidang sains dan teknologi kepada murid-murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, bidang tersebut merupakan salah satu daripada 14 elemen diperkenalkan dalam konsep tersebut sekali gus mampu menjadikan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan untuk anak-anak.

Menurutnya, dalam konteks itu, banyak inisiatif yang dilaksanakan bagi memastikan murid-murid dapat menjelajah bidang sains dan teknologi.

“Kita bersaing atas tapak digitalisasi sama ada suka atau tidak. Bidang ini akan terus menjadi tunjang pemodenan dunia dan pastikan anak-anak mempunyai minat dalam sains dan teknologi.

“Ketika ini, kita bercakap mengenai persekitaran sekolah yang menyeronokkan sehingga membuatkan murid-murid rasa kosong sekiranya tidak hadir ke sekolah. Jadi, konsep Sekolahku SEJAHTERA pastinya akan digunakan untuk merapatkan anak-anak dengan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 di Festival Guru Malaysia (FGM) anjuran KPM dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.

RADZI Jidin bersama pemenang pada Majlis Penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 di Festival Guru Malaysia (FGM) anjuran KPM dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dan Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai.

Dalam majlis itu, seramai 25 orang guru menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 atas usaha mereka meningkatkan kecemerlangan akademik dan mewujudkan akses kepada pendidikan untuk murid-murid.

Mengulas lanjut, menurut Radzi, beliau melihat kesemua guru yang menerima anugerah itu menggunakan pendekatan dan ruang sewaktu di sekolah untuk mewujudkan elemen yang menyeronokkan kepada anak-anak.

Tambahnya, ia sekaligus berkait rapat dengan konsep Sekolahku SEJAHTERA yang diperkenalkan oleh KPM.

Sebelum ini, KPM memperkenalkan Konsep Sekolahku SEJAHTERA yang bermatlamat untuk melahirkan generasi muda yang hebat sekali gus mampu bersaing di peringkat dunia.

Matlamat tersebut boleh dicapai melalui penjiwaan terhadap 14 elemen penting yang terkandung di bawah Konsep Sekolahku SEJAHTERA.

Antara elemen penting berkenaan adalah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.