Pemandu treler didakwa memandu secara berbahaya susulan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua treler hingga menyebabkan lima mangsa rentung di KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kuala Kangsar baru-baru ini./Gambar FB Bernama Radio.

PERINTAH reman terhadap pemandu treler bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, Rabu lepas, disambung tiga hari lagi bermula esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata lelaki berusia 28 tahun itu dijangka dituduh di mahkamah selewat-lewatnya Rabu depan.

“Reman dapat disambung selama tiga hari. Suspek dijangka didakwa sama ada Selasa petang atau Rabu pagi,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pemandu treler berkenaan direman bermula Khamis lepas hingga hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca: Lima rentung: Pemandu treler direman hingga AhadLima rentung nahas tiga kenderaan dekat Terowong Menora

Siasatan polis mendapati pemandu itu mempunyai 22 saman trafik dengan daripada jumlah itu, 21 saman telah dibayar termasuk lapan saman berkaitan kesalahan memandu laju.

Lima pelajar yang maut ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.