Sebahagian daripada perwakilan yang hadir sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PINDAAN Perlembagaan UMNO yang dilakukan menerusi Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini disifatkan memberi ruang kepada parti itu mengorak langkah dan menyusun strategi bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah untuk meminda perlembagaan bagi memastikan pemilihan diadakan selepas PRU juga menjadikan UMNO berhadapan PRU tanpa bergelut dengan masalah dalaman.

Menurut beliau, pindaan Perlembagaan yang dibentangkan itu membawa erti cukup besar dan mesej jelas bahawa semua ahli parti mahukan kestabilan.

Ahmad Zahid berkata, kestabilan itu merangkumi kestabilan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), mengembalikan maruah perjuangan dan mempersiapkan pewaris kesinambungan sebuah perjuangan.

Jelasnya, tiada makna agenda kestabilan yang ditawarkan UMNO kepada rakyat sekiranya dalaman parti itu sendiri tidak tenteram.

“Ini adalah amanah dan tanggungjawab kita kepada kelangsungan parti.

“Ia juga menuntut kita semua untuk berlapang dada dan berjiwa besar bagi memastikan UMNO terus mekar menuju ke abad perjuangannya.

“Ingatlah, kita tidak sanggup melihat UMNO menjadi kucar-kacir. Ingatlah, kita tidak sanggup melihat parti berpecah-belah. Ingatlah, selepas biduk berlalu, kiambang belum tentu bertaut kembali. Perpecahan hanya akan merugikan UMNO,” katanya.

Sebahagian daripada perwakilan yang hadir sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: Tidak benar pinda Perlembagaan UMNO untuk selamatkan saya – Ahmad Zahid

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Perhimpunan Agung Khas itu diadakan bagi meluluskan pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang memberi tempoh kepada parti itu melanjutkan pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas PRU diadakan.

Perhimpunan Agung Khas UMNO itu turut dihadiri 2,586 perwakilan daripada 190 Bahagian di seluruh negara.

Pembentangan usul pindaan Perlembagaan parti akan dilakukan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum diserahkan kepada perwakilan untuk diputuskan namun tiada sebarang perbahasan akan diadakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO yang baharu tiba dari Amerika Syarikat pagi tadi turut serta dalam Perhimpunan Agung Khas berkenaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram