Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PINDAAN Perlembagaan UMNO yang telah diluluskan hari ini untuk menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum (PRU) melibatkan proses berbeza dengan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa pemilihan UMNO tidak akan mempengaruhi tarikh untuk mengadakan PRU-15.

“Tarikh (PRU) itu ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan daripada mesyuarat Kabinet. Kita akan bawa dalam Kabinet. Parti berbeza dengan kerajaan.

“Parti pun tahu, kalau ada cadangan (untuk diadakan PRU) akan bawa ke Kabinet dan Kabinet yang memutuskan.

“Kalau pun Kabinet sudah memutuskan tarikh, Kabinet akan beri mandat kepada saya untuk berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong,” katanya menurut laporan BH Online, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuap pulut kuning kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sambil diperhatikan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti ketika hadir sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: UMNO lulus pinda Perlembagaan, usul disokong Ismail Sabri

Ketika ditanya sama ada PRU-15 akan diadakan tahun ini, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menjawab: “PRU kita tunggulah, kalau saya bagi tahu, maknanya semua sudah tahu awallah.”

Berhubung pindaan Perlembagaan UMNO yang diluluskan hari ini sama ada perlu kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Ismail Sabri menyerahkan kepada agensi itu untuk menentukan keputusannya.

Menurut beliau, UMNO perlu menghantar surat pemakluman berkaitan keputusan itu dalam tempoh 60 hari kepada ROS.

“Usul itu sudah diterima sebulat suara dan selepas ini UMNO akan menulis surat kepada ROS untuk mendapatkan kelulusan. Itulah dari segi prosedurnya.

“Kita tidak tahulah. Kita akan hantarlah permohonan itu untuk dapatkan kebenaran ROS terhadap pindaan itu. Kita tunggulah, kita pun tak tahu lagi,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram