GIMNAS artistik wanita negara, Rachel Yeoh Li Wen berjaya meraih emas kedua peribadi dalam Sukan SEA Hanoi kali ini. GAMBAR: BERNAMA

GIMNAS artistik wanita negara, Rachel Yeoh Li Wen menampilkan aksi memukau untuk menghadiahkan Malaysia pingat emas dalam acara palang bertingkat (palang asimetrik) pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi hari ini.

Pencapaian cemerlang gimnas berusia 23 tahun di Pusat Gimnasium Quan Ngua itu, hadir selepas beliau menyumbangkan pingat pertama buat Malaysia dalam sukan gimnastik menerusi gangsa dalam acara all-around individu semalam.

Dalam saingan hari ini, Rachel mempamerkan gerakan konsisten untuk memikat juri sekali gus memperoleh 13.000 mata, mengatasi peserta tuan rumah Pham Nhu Phuong yang mengumpul 12.457 mata manakala pingat gangsa diraih atlet Singapura Nadine Joy Nathan (12.433 mata).

Sementara itu, dua gimnas lelaki negara Tan Fu Jie dan Muhammad Sharul Aimy masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam acara kekuda berpelana setelah memperoleh 14.200 dan 12.500 mata.

Peserta tuan rumah Dang Ngoc Xuan Thien mendominasi acara berkenaan setelah mengutip 14.400 mata.

Ketika ditemui pemberita, Rachel menyifatkan kejayaan dicapainya itu berbaloi dengan segala pengorbanan dan usaha keras yang dilakukan dalam latihan sebelum ini.

Baca artikel berkaitan: Sukan SEA: Badan Mike Mahen paling cantik, bawa pulang emas

“Banyak cabaran sebelum ini…akibat pandemik COVID-19 menyebabkan latihan tidak menentu, malah sebelum ini saya juga mengalami kecederaan.

“Sudah tentu saya sangat gembira dan berpuas hati dengan kejayaan ini kerana dapat membuktikan saya juga mampu memenangi pingat emas,” kata Rachel yang meraih gangsa dalam acara itu pada edisi 2019 di Manila, Filipina.

Kejayaan Rachel di Hanoi itu sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi Malaysia dalam acara tersebut di Manila menerusi Farah Ann Abdul Hadi.

Sementara itu, empat lagi gimnas negara yang turun beraksi hari ini gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas dalam acara masing-masing.

Luqman Al-Hafiz Zulfa yang bersaing dalam acara senaman lantai dan gelung roman lelaki hanya menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh dalam kedua-dua acara tersebut.

Ng Chun Chen yang turut beraksi dalam acara gelung roman lelaki berada di kedudukan keenam, dan manakala Geanie Ng Ee Ling di tempat kelapan dalam acara melombol wanita.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram