Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) serta pemimpin-pemimpin tertinggi parti melambai tangan kearah wakil media ketika hadir sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“NO way for me to do that (tidak mungkin saya akan buat begitu).”

Itu kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan sesetengah pihak dalam parti itu bahawa pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar, Ahmad Zahid menegaskan, amat dangkal sekiranya ada dalam kalangan ahli UMNO termasuk kepemimpinan tertinggi berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian.

Menurut beliau, gesaan supaya pemilihan parti diadakan selepas PRU adalah usul daripada majoriti Bahagian UMNO yang telah mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing.

Beliau berkata, keputusan di peringkat akar umbi dan seterusnya diangkat ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dua bulan lalu telah pun dipersetujui dan diluluskan.

“Pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi. Saya yakin saudara saudari sekalian hendak melihat parti kita kukuh dan berpadu.

“Adat memimpin, apa pun yang datang, bahtera perlu diselamatkan. Walau diri terkorban namun bahtera jangan dibiarkan karam,” katanya.

Baca artikel berkaitan: UMNO pinda perlembagaan petang ini

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, pindaan perlembagaan kali ini akan memberi ruang kepada pasukan kepemimpinan Pusat, Bahagian dan Cawangan bagi setiap penggal pemilihan memberi tumpuan kepada gerak kerja menghadapi PRU.

“Dengan mengabsahkan pindaan hari ini, saudara saudari sekalian adalah pasukan yang akan membawa parti menghadapi PRU-15.

“Insya-Allah, andalah yang akan bersama-sama dengan kepimpinan parti mendepani PRU-15 untuk melakar kejayaan,” katanya.

UMNO akan meminda perlembagaan parti itu bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU-15.

Perhimpunan Agung Khas UMNO itu turut dihadiri 2,586 perwakilan daripada 190 Bahagian di seluruh negara.

Pembentangan usul pindaan Perlembagaan parti akan dilakukan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum diserahkan kepada perwakilan untuk diputuskan namun tiada sebarang perbahasan akan diadakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO yang baharu tiba dari Amerika Syarikat pagi tadi turut serta dalam Perhimpunan Agung Khas berkenaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram