Tangkap layar video memaparkan sebuah SUV tidak memberikan laluan kepada ambulans walaupun siren sudah dibunyikan.

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah tidak menyembunyikan rasa kecewa terhadap sikap pemandu yang tidak memberikan laluan kepada sebuah ambulans.

Menerusi ciapan di Twitter, Dr. Noor Hisham turut menyifatkan tindakan seorang pemandu menghalang laluan ambulans itu sebagai mementingkan diri sendiri.

Beliau turut berkongsi satu rakaman video menunjukkan ambulans itu dihalang dipercayai di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

“Astaghfirullah, masih ada pemandu yang pentingkan diri sendiri sampai sengaja tidak memberikan laluan kepada pihak ambulans walaupun siren sudah lama dibunyikan di belakang kereta ini,” katanya dalam ciapan tersebut.

Dalam rakaman video berkenaan, pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda CRV bertindak memandu di lorong paling kanan sebelum sebuah ambulans menghampiri.

Walaupun ambulans tersebut telah membunyikan siren, namun pemandu kenderaan itu masih ‘berdegil’ dan tidak bergerak ke bahagian kiri.

Ambulans tersebut kemudiannya terpaksa memotong di lorong kiri.

Baca artikel berkaitan: 10,619 kes sembuh Covid-19 semalam – Dr. Noor Hisham

Sementara itu, menurut laporan BH Online yang memetik Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemandu yang menghalang ambulans tersebut telah menyerah diri kepada polis.

Menurut beliau, proses mengambil keterangan sedang dilakukan berhubung tindakannya di Kampar.

“Pada masa ini siasatan sedang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak bagi mengetahui motif sebenar dia halang ambulans berkenaan.

“Berdasarkan keterangan awal, pemilik kereta itu mendakwa kereta berkenaan dipandu bapanya yang mengalami masalah pendengaran walaupun sudah diberitahu ada ambulans dari belakang.

“Polis masih menjalankan siasatan mengikut Akta Pengangkutan Jalan dan akta berkaitan lain dari semua sudut bagi memastikan dakwaan pemilik kenderaan itu benar atau sebaliknya. Polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram