PERKAMPUNGAN Kandovan terletak di bahagian timur wilayah Azarbaijan di Tabriz, Iran. Kawasan ini bukan hanya terkenal dengan pemandangan indah, tetapi juga penempatan penduduknya yang unik.

Kebanyakan rumah di perkampungan ini dibuat di dalam gua yang berbentuk kon. Batu-batuan berbentuk kon ini terbentuk secara semula jadi daripada proses pemampatan abu gunung berapi yang menjadikan landskap perkampungan tersebut seperti koloni anai-anai gergasi. Dikatakan rumah-rumah batu ini mula didiami sejak lebih 700 tahun yang lalu.

Perkampungan batu Kandovan.

Formasi tersebut merupakan hasil daripada letusan gunung berapi Sahand sejak 11 ribu tahun yang lalu. Gunung berapi ini letaknya tidak jauh daripada perkampungan Kandovan. Sehingga kini gunung berapi tersebut masih lagi aktif.

Bagi penduduk kampung berkenaan, Kando bermakna ‘sarang lebah’. Dipercayai maksud itu menjelaskan keadaan bagaimana perkampungan Kandovan mendapat namanya.

Gua batu yang diubahsuai menjadi kediaman penduduk ini lengkap dengan ruang tamu, bilik penyimpanan dan tempat tinggal haiwan. Kebanyakan rumah juga mempunyai anjung, tingkap, pintu dan tangga yang diukir pada dinding di batu-batu gua.

Gua-gua tersebut juga menjadi ‘alat pemanas’ untuk mengekalkan suhu yang selesa sepanjang musim sejuk dan juga kekal sejuk pada musim panas. Kebanyakan rumah di sini dibina di antara dua hingga empat tingkat bagi sebuah rumah.

Menurut catatan, penduduk Kandovan mula mendiami kawasan ini ketika abad ke-13. Mereka berpindah ke sini ketika melarikan diri daripada tentera Moghul yang menyerang perkampungan mereka terdahulu.

Dipercayai semasa proses mencari perlindungan, mereka telah menggali lubang persembunyian di tebing batu volkano dan seterusnya tinggal di sana. Tempat yang pada awalnya menjadi tempat persembunyian berkembang menjadi rumah-rumah yang lengkap dengan dapur, bilik mandi dan ruang istirehat.

Rumah-rumah batu ini juga kebanyakannya mempunyai jendela kaca berwarna-warni. Terdapat juga rumah yang telah diubahsuai menjadi kandang kuda dan juga sangkar burung.

Pembinaan rumah-rumah ini kelihatan unik dan menarik. Ia seolah-olah sebuah bandar yang menggabungkan elemen tradisional dan moden secara semula jadi.

Perkampungan unik ini menjadi tarikan pelancong.

Bagi orang luar, tempat tinggal ini mungkin kelihatan tidak selesa dan kurang selamat untuk didiami oleh manusia. Namun bagi penduduk Kandovan, ia adalah sebuah kawasan terbaik yang pernah wujud di dunia ini dan kewujudannya harus kekalkan.

Penduduk Kandovan kebanyakan bekerja sebagai petani dan penggembala kambing. Walau bagaimanapun, sumber pendapatan utama mereka datang daripada sektor pelancongan. Ya, penempatan unik ini turut menjadi salah satu destinasi pelancongan popular di Iran.

Selain hotel yang tersedia buat pengunjung ke kampung ini, di sepanjang sungai yang membelah perkampungan batu ini, terdapat kafe-kafe yang menjual makanan tempatan. Pengunjung juga boleh menikmati secangkir kopi atau segelas air zamzam dingin.

Masyarakat tempatan percaya air sungai di kampung ini mampu mengubati masalah buah pinggang. Kelebihan itu berjaya menarik perhatian ramai orang dari bandar-bandar sekitarnya dan kawasan luar untuk datang ke sini, sekaligus membantu ekonomi penduduk di perkampungan ini.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/