PENYANYI Britney Spears mengumumkan bahawa dirinya mengalami keguguran anak ketiganya pada peringkat awal kehamilan.

Berita itu dikongsikan Britney di laman Instagramnya bahawa penantian bersama pasangannya, Sam Asghari berakhir dengan tragik.

Britney, atau Britney Jean Spears, 40, juga turut meluahkan bahawa dia dan Sam sedang mengalami waktu yang sukar justeru meminta ruang privasi buat sementara waktu.

“Sangat menyedihkan apabila kami terpaksa mengumumkan bahawa kami sudah kehilangan bayi kami ketika dalam peringkat awal kehamilan.

“Ia sangat menyedihkan kepada semua ibu bapa jika mengalami perkara ini. Mungkin kami sepatutnya menunggu untuk mengumumkan sehingga kandungan sudah kuat.

“Tetapi kami terlalu teruja untuk berkongsi berita baik itu.

“Namun kami sangat bersyukur dengan sokongan semua. Kami mohon privasi sepanjang tempoh yang sukar ini”, katanya.

Britney juga turut menyatakan bahawa dirinya bersama Sam tidak akan berputus asa untuk mendapatkan zuriat sekaligus menambah bilangan ahli keluarga mereka.

“Cinta kami adalah kekuatan kami.

“Kami akan berusaha lagi untuk mengembangkan keluarga tercinta kami ini”, tambahnya.

Susulan itu, Sam,28, juga meninggalkan komen pada posting itu, memberitahu bahawa dirinya bersama Britney tidak akan berputus asa dan percaya pada keajaiban.

“Kita akan mendapat keajaiban tidak lama lagi”, tulisnya.

Rakan selebriti turut melahirkan rasa simpati dan memberi sokongan kepada Britney.

“Saya sangat kesal atas kehilangan bayi kamu. Saya akan sentiasa bersama kamu. Saya sayangkan kamu sangat-sangat B (Britney)”, tulis Paris Hilton.

“Saya sangat bersimpati dengan kamu”, komen Christina Perri.

Untuk rekod, Britney mengesahkan dirinya hamil anak ketiga menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram pada 12 April lalu.