Mohamed Azmin Ali menziarahi pusara bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din di Livermore, California, Amerika Syarikat. - Gambar FB AZMIN ALI

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali yang dalam lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) meluangkan masa untuk menziarahi pusara bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din di Livermore, California.

Berkongsi perkara tersebut di Facebook, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, suasana sayu dan hiba saat tiba di pusara Allahyarham.

Katanya, beliau terkenang pertemuan terakhir bersama Dr Haron pada 9 September 2016 di Masjid Al Umm, Bangi, sehari sebelum Allahyarham dan keluarga berangkat ke Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan.

“Sedih apabila menerima panggilan telefon dari ahli keluarga yang memaklumkan Tuan Guru menghembuskan nafas terakhir pada 15 September 2016, hanya beberapa hari selepas pertemuan kami.

“Hari ini, 15 Mei 2022, saya menziarahi pusara Almarhum. Saya membacakan surah Al-Fatihah dan Yasin dengan perasaan yang amat sedih di atas perpisahan ini.

“Saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT semoga Almarhum Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din dianugerahkan husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di dalam syurga yang penuh nikmat Allah SWT,” kata Mohamed Azmin.

Menurut beliau, Dr Haron seorang murabbi ummah yang banyak berbakti terhadap umat dan perkembangan Islam di Malaysia dan juga di rantau ini.

“Selain merupakan tokoh sarjana muslim yang menyemai intelektualnya dan tradisi keilmuan, Almarhum juga memainkan peranan besar dalam memasyarakatkan penghayatan Al Quran.

“Kecintaan Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din terhadap institusi ilmu serta pembangunan masyarakat ilmu telah mendorong beliau untuk membangunkan Masjid Al Umm sebagai pusat pencerdasan umat Islam.

“Usaha ini yang membidankan pertemuan kami di Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor pada 8 Julai 2015 bersama Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al Umm untuk Kerajaan Negeri membantu menyegerakan pembangunan institusi Islam di Bangi,” ujarnya.