Petugas Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin menyelamatkan kira-kira 80 pengunjung Air Terjun Lama Tiga Budaya, Asahan susulan kejadian kepala air hari ini./Gambar Bernama

PETUGAS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin menyelamatkan kira-kira 80 pengunjung Air Terjun Lama Tiga Budaya, Asahan selepas terperangkap akibat fenomena kepala air hari ini berikutan hujan lebat.

Komander Operasi Mohd Rizuan Suliman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengunjung pada pukul 1 tengah hari tadi sebelum tiba ke tempat kejadian 27 minit kemudian bersama sebuah jentera dan empat anggota.

“Setakat ini, 60 pengunjung berjaya dibawa ke tempat selamat manakala 20 pengunjung lagi masih berada di kawasan air terjun berikutan mahu meneruskan aktiviti berkhemah di tempat tersebut.

“Namun anggota bomba dan polis yang berada di lokasi menasihatkan mereka untuk menangguhkan aktiviti tersebut sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya kesemua mangsa diselamatkan dengan menyeberang kawasan sungai yang cetek dengan bantuan anggota bomba dan tiada pengunjung yang cedera dalam kejadian terbabit.