Tun Dr. Mahathir Mohamad - GAMBAR: Abd Razak Aid

TUN Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa ‘cash is king, king itu rakyat’ ibarat orang yang tidak siuman.

Memetik laporan Astro Awani, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) malah mendakwa apa yang diungkapkan Najib itu sebagai satu pembohongan semata-mata.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut mendakwa Najib sudah berulang kali menipu rakyat termasuk di Parlimen.

“Saya hairan kenapa Najib diberi tempat untuk dia bercakap bohong, macam tak siuman (dia bercakap)… kononnya cash is king, king itu rakyat, jadi sekarang bila kita jumpa rakyat, kita (kena panggil) Duli Yang Maha Mulia rakyat. Bukan macam itu… itu cakap bohong.

“Dulu dia kata nak malu buat apa pasal dia bos, bos curi tidak apa, jadi ada dalam Parlimen dia kata kita tak bayar satu sen pun hutang, mana tak bayar, kita bayar berbilion ringgit… dia kata tak bayar, dia cakap tak betul.

“Orang ini mempunyai niat nak jadi Perdana Menteri, dia harap kalau UMNO menang dia akan diampun sekali lagi, sekarang ini semua orang nak jadi Perdana Menteri lagi, (Tan Sri) Muhyiddin pun nak jadi Perdana Menteri juga sekali lagi,” bidas Dr Mahathir.

Baca artikel berkaitan: Debat antara Anwar dan Najib berlangsung lancar

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi, hari ini.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan dibuat Najib semasa Debat Perdana antara Ahli Parlimen Pekan itu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis lalu.

Selain itu, Dr. Mahathir turut menyifatkan analogi ‘kek ekonomi’ yang diperkatakan Najib dalam debat tersebut tidak menggambarkan keperibadian sebenarnya.

“Dia buat macam itu ka (kongsi kek) semasa jadi Perdana Menteri?

“Saya ditutup sama sekali untuk bercakap bukan pembahagian sama rata, masa dia (Najib) jadi Perdana Menteri tak ada sama rata, sekarang bila tak jadi Perdana Menteri mesti sama rata (pula)?,” kata Dr. Mahathir.

Dalam Debat Perdana itu, Najib menyifatkan pendekatan cash is king yang dibawanya lebih mudah membantu rakyat.

Menurut Najib yang merujuk ‘king’ itu adalah rakyat, pengenalan pembayaran tunai secara terus kepada rakyat berjaya menyegerakan bantuan kepada rakyat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram