Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. (Gambar fail dari FB Shahril Hamdan).

“LEBIH baik pinda Perlembagaan parti berbanding berpindah parti berkali-kali.”

Demikian kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan membidas kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa UMNO tidak menghormati Perlembagaan sendiri dengan memindanya untuk menangguhkan pemilihan parti.

Menurut Shahril, Perlembagaan sesebuah organisasi dipinda mengikut kesesuaian waktu.

Kata beliau, ia boleh dipinda dari masa ke masa selagi tidak lari daripada semangat dan roh perjuangan parti tersebut.

Shahril turut mengingatkan Dr. Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO bahawa ia bukan kali pertama pindaan Perlembagaan itu telah dilakukan.

“Semenjak 1987 hingga kini, pindaan Perlembagaan berkaitan pemilihan parti telah dilakukan tiga kali.

“Tahun 1987, ketika Tun (Dr. Mahathir) menjadi Presiden UMNO, sistem 10 undi bonus bagi setiap pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden diperkenalkan.
Adakah bermaksud kepimpinan waktu itu tak hormat perlembagaan UMNO?

Baca artikel berkaitan: Pinda Perlembagaan UMNO tidak pengaruhi tarikh PRU-15 – Ismail Sabri

“Tahun 1998, masih lagi Tun sebagai Presiden, sistem kuota pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti diperkenalkan. Adakah bermaksud kepimpinan waktu itu tak hormat perlembagaan parti?,” soalnya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, bukan sahaja Perlembagaan parti, malah Perlembagaan Persekutuan juga telah melalui beberapa proses pindaan.

“Kali pertama Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda 23 kali termasuk tahun 1988 di mana terjadinya krisis Perlembagaan.

“Kali kedua Tun menjadi Perdana Menteri, Perlembagaan dipinda satu kali. Adakah ini juga bermaksud tak hormat Perlembagaan negara sendiri? Sudah tentu jawapan kepada semua diatas, tidak,” jelas beliau.

Terdahulu, Dr. Mahathir dilaporkan mendakwa UMNO tidak menghormati Perlembagaan parti apabila meluluskan usul Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti tersebut.

Dr. Mahathir turut mempersoalkan tempoh penangguhan pemilihan berkenaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram