Selepas Piala Thomas, India menyasarkan pelnbagai lagi kejuaraan besar yang mampu diraih skuad badminton negara itu termasuklah di Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik./Gambar media sosial

AMITABH Bachan, Anil Kapoor dan ramai lagi selebriti Bollywood sama-sama menambah gilang-gemilang kejayaan senasi skuad badminton India menjulang Piala Thomas.

Menerusi media sosial, mereka berkongsi detik mendebarkan aksi final menentang Indonesia semalam dan seterusnya mengutuskan ucapan tahniah sebaik Srikanth Kidambi meraih mata kemenangan.

Benar, kriket sukan nombor 1 malah sukan itu seakan mengatasi segala-galanya di India. Pelbagai hiruk-pikuk terhenti apabila ada siaran langsung aksi kriket negara itu di kejohanan utama.

Namun kejayaan bersejarah skuad Piala Thomas India 2022 di kota Bangkok semalam mengundang keterujaan pemimpin, selebriti, media dan penduduk republik yang mempunyai lebih 1 bilion penduduk itu.

Perdana Menteri India, Narendra Modi terawal mengucapkan tahniah malah beliau mengadakan panggilan video bersama anggota skuad Piala Thomas.

Ini disusuli pengumuman hadiah 10 crore rupees (10 juta) yang bersamaan lebih setengah juta ringgit daripada kerajaan India buat skuad tersebut.

Pihak persatuan juga memberi hadiah nilai sama, manakala tajaan korporat sedang mencurah buat bintang-bintang badminton.

Bukannya badminton India tidak pernah membawa pulang kejohonan utama. Legenda India, Prakash Padukone menang All England pada 1981, P. Gopichand 2001 dan PV Sindhu pernah juarai Kejohanan Dunia 2019.

Tetapi Piala Thomas punya prestij tersendiri. Ada magis luar biasa. Piala Thomas adalah Piala Dunia versi bola sepak.

Melihat pemain negara menjulang piala itu memberikan satu macam rasa.

Sebab itu, Piala Thomas mampu menyatukan rakyat yang berbilang kaum, agama, latar belakang politik dan 1,001 macam lagi perbezaan.

Seluruh negara lupa kenapa mereka bermusuhan dan sebaliknya bersatu menyokong wira-wira badminton agar mereka menjulang nama negara.

Perasaan ini dirasai di India semalam dan Malaysia tiga dekad lalu. Ya, 30 tahun lalu.

Lama sudah perasaan itu tidak singgah. Masih ingat bagaimana euphoria orang Malaysia meraikan skuad 1992 diketuai Razif Sidek ketika menjulang Piala Thomas di Stadium Negara.

Cuti umum sudah pasti. Raket badminton juga laris angkara demam Piala Thomas. Petang-petang di taman perumahan ramai bermain badminton.

Cerita hadiah lumayan termasuk tanah yang diterima pemain mewarnai lagi detik itu.

Tak kurang juga menyimpan impian untuk menjejaki Datuk Sidek Kamar membentuk anak-anak dalam bergelar jaguh dunia suatu hari.

Semua itu kenangan indah. Entah bila detik itu akan tiba. Setiap dua tahun, kita akan kata “cuba lagi”.

Paling hampir dekad ini ialah 2014, kita di final tetapi skuad diketuai Lee Chong Wei kalah kepada Jepun, 2-3.

Pastinya, laluan mengulangi sejarah 1992 semakin sukar. Bukan hanya China, Indonesia atau Denmark sahaja jadi penghalang.

Sebaliknya satu demi satu negara muncul pasukan heavyweight badminton. Selepas Jepun yang menjulang Piala Thomas pada 2014, kini muncul pula India.

Lebih menggerunkan, India bukan asing dengan badminton berbanding Jepun. Sukan itu dimainkan meluas di akar umbi cuma tidaklah terlalu banyak publisiti.

Namun hasil kerja kerja keras bekas pemain menubuhkan akademi khusunya Gopichand, India sejak sedekad dua ini mula menampakkan taring di pentas antarabangsa baik lelaki mahu pun wanita.

Kemuncaknya semalam dengan menang Piala Thomas. Malah Gopichand bila ditanya masa depan badminton India sangat meyakinkan jawapannya.

“Jika Piala Thomas memerlukan 10 pemain perseorangan sekali pun, India masih mempunyai pemain setanding dengan tiga yang diturunkan,” katanya yang juga Ketua Jurulatih Badminton India.

Menerusi akademi yang diasaskan Gopichand di Hyederabad dengan sejuta pengorbanan, ramai pemain elit India dilahirkan beliau.

Skuad badminton India muncul juara Piala Thomas buat kali pertama setelah menewaskan Indonesia semalam di Bangkok.

Baca: Tewas kepada India, kemarau 30 tahun Piala Thomas berterusan

Selain itu, Persatuan Badminton India (BAI) juga betul-betul melakukan persiapan. Belakang parang tidak akan tajam jika tidak diasah.

Bagi beregu, mereka menggunakan khidmat Matthias Boe – pemenang pingat perak Olimpik beregu lelaki dari Denmark.

BAI beruntung kerana mendapat sokongan Sports Authority of India (SAI) yang menyediakan peruntukan khas bagi membayar gaji Boe dalam mencapai misi podium Sukan Asia dan Komanwel.

Sekadar rekod, sebelum Boe ke Mumbai, India mahu mendapatkan khidmat bekas jaguh Malaysia, Tan Kim Her – tetapi saat-saat akhir gagal disepekati.

Malaysia pula? Yang berada di posisi 10 perseorangan terbaik dunia hanyalah Lee Zii Jia. Itu pun beliau sudah keluar persatuan.

Kemampuan perseorangan kedua dan ketiga nampak terlalu jauh dari negara pesaing. Sampai jadi bahan kecaman netizen sendiri.

Bukan salah pemain. Mereka mahu menyumbang untuk negara. Namun status sebagai negara sukan tradisi badminton sahaja tidak cukup.

Pembangunan akar umbi sehinggalah latihan di peringkat elit memerlukan semuanya dalam keadaan tiptop. Ini termasuklah yang memimpin persatuan.

Reputasi lalu tidak membawa apa-apa makna.

Jadi lakukanlah sesuatu ketika mana rakyat, kerajaan dan penaja masih memberi tumpuan kepada badminton – sukan harapan untuk menamatkan penantian emas Olimpik pertama negara.