SEMPENA hari guru, kami bawakan kisah menarik wanita ini. Dilahirkan dengan penyakit Sindrom Down, wanita bernama Noelia Garella berasal dari Argentina ini menghadapi zaman kanak-kanak yang dipenuhi dengan cemuhan negatif.

Lahir sebagai penghidap Sindrom Down, sewaktu zaman kanak-kanaknya dahulu, Garella sering digelar ‘raksasa’ oleh rakan-rakan di sekolah. Namun, ia tidak pernah melemahkan semangat wanita ini.

Malah, siapa sangka kekurangan wanita ini menjadi semangat dan kekuatan untuk dirinya mencapai cita-cita seperti manusia normal.

Garella bukanlah individu yang bernasib baik. Sejak kecil lagi, dia sudah menerima cemuhan daripada rakan-rakan dan golongan dewasa di sekelilingnya. Sebagai pesakit Sindrom Down, dia diibaratkan seperti ‘barah’ yang sukar diterima orang ramai ketika itu.

Lebih menyedihkan, peluang untuk dirinya bersekolah begitu nipis disebabkan oleh penyakit yang dialaminya. Banyak sekolah menolak Garella kerana penyakitnya itu.

Garella sering digelar ‘raksasa’ semasa zaman sekolahnya dahulu.
Baruntung mempunyai keluarga yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Garella beruntung kerana mempunyai orang tua yang tidak pernah berputus asa dalam memberi yang terbaik buat anak mereka. Kepayahan yang dirasai tidak mematahkan semangat wanita ini untuk menggapai cita-citanya.

Disebabkan terlalu suka dengan kanak-kanak, Garella menyimpan hasrat untuk menjadi seorang guru apabila dewasa. Siapa sangka, impiannya untuk bergelar pendidik berjaya dicapai ketika usianya menginjak 31 tahun. Lebih hebat lagi, Garella merupakan guru Sindrom Down pertama di Argentina.

Pada Januari 2016, Garella secara rasminya mengajar di sebuah prasekolah Jeromito di Cordoba, Argentina. Murid-muridnya terdiri daripada kanak-kanak berumur dua dan tiga tahun.

Keseronokan Garella terlihat sepanjang tempoh pengajaran. Tidak hanya melakukan tugasan mendidik, dia juga mampu menarik perhatian kumpulan si kecil untuk belajar membaca.

Impian Garella untuk menjadi pendidik akhirnya tercapai.
Garella menjadi guru Sindrom Down pertama di Argentina.

Impian wanita ini berjaya dicapai dengan bantuan pengarah sekolah berkenaan iaitu Alejandra Senestrari yang percaya, semangat yang dimiliki oleh Garella mampu menyampaikan pengajaran yang baik terhadap murid-murid di sekolah tersebut.

Sepanjang menjadi pendidik, Garella turut mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan rakan-rakan guru. Biarpun pernah dihina suatu ketika dahulu, wanita ini sentiasa bersemangat positif. Baginya pengalaman buruk yang dialami tidak sedikit pun mengurangkan impian untuk menjadi seorang pendidik.

Selain menjadi guru di sekolah, Garella juga mempunyai anak murid yang menghidap penyakit Sindrom Down, sama sepertinya. Menderita penyakit serupa menjadikan wanita ini lebih memahami keadaan si kecil berkenaan.Dia tidak mahu golongan kanak-kanak yang baru mengenal dunia menerima layanan buruk sama seperti pengalaman silamnya dahulu.

Sebelum bergelar pendidik, Garella telah berkhidmat sebagai pembantu guru sejak tahun 2012 dan berperanan mengajar kanak-kanak untuk membaca dan mendengar.

Semoga kisah Garella dan semangatnya memberi inspirasi kepada kita semua. Jangan cepat menyerah kalah dengan kekurangan diri dan sentiasa berusaha untuk mengejar impian seperti yang dibuktikan oleh Noelia Garella, guru Sindrom Down pertama di Argentina.

Info ringkas :

  • Bryann Burgess dari South Carolina, Amerika Syarikat merupakan seorang guru muzik yang menghidap Sindrom Down.
  • Hannah Sampson, seorang wanita berbakat yang mengajar tarian di sebuah kelas di United Kingdom juga penghidap Sindrom Down.
  • Berdasarkan laman sesawang ‘Down Syndrome International’, Hari Sindrom Down Sedunia (WDSD) disambut pada 21 Mac setiap tahun.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/