Hadi Fayyadh berjaya menyumbat dua gol dalam perlawanan menentang Kemboja, hari ini sekali gus menutup mulut pengkritik. GAMBAR: Facebook FAM

MALAYSIA gagal menggunakan banyak peluang terhidang untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara Kumpulan B selepas gagal mengatasi Kemboja dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, sebentar tadi.

Malaysia yang telah pun berjaya melangkah ke separuh akhir hanya mampu seri 2-2 menentang Kemboja.

Nasib skuad Bawah-23 tahun negara sama ada akan menentang juara Kumpulan A, Vietnam atau Indonesia dalam separuh akhir hanya akan ditentukan pasukan Thailand yang akan mengakhiri saingan Kumpulan B menentang Laos, malam ini.

Walaupun melakukan lapan pertukaran berbanding pertemuan terdahulu semasa menentang Singapura, anak buah Brad Maloney mengawal permainan sejak wisel permulaan dibunyikan.

Hanya penjaga gol iaitu Azri Ghani, Safwan Mazlan dan Quentin Cheng dikekalkan dalam kesebelasan utama negara hari ini.

Ketiadaan pemain utama termasuk Mukhairi Ajmal dan Nik Akif Syahiran yang direhatkan bagaimanapun membuatkan banyak gerakan di bahagian tengah agak terhad.

Namun begitu, Malaysia banyak menggunakan kelebihan overlap Quentin Cheng dan Hairiey Hakim di bahagian sayap untuk menggugat pertahanan Kemboja.

Tanpa Luqman Hakim Shamsuddin, Syahir Bashah dan Ahmad Danial Asri di bahagian serangan, Malaysia mempertaruhkan Azfar Fikri Azhar, Hadi Fayyadh dan Syafik Ismail untuk merobek gawang lawan.

Peluang terbaik negara hadir pada minit ke-31 selepas hantaran lintang Syafik berjaya disambut Hadi Fayyadh namun tandukan penyerang Azul Claro Numazu itu sedikit melewati palang gol Kemboja.

Baca artikel berkaitan: Sukan SEA: Tak fikir siapa lawan di semi final, yang penting jadi juara kumpulan – Maloney

Kesilapan pada minit terakhir separuh masa pertama yang menyaksikan Quentin tertampan bola menyebabkan Kemboja dihadiahkan sepakan penalti.

Pemain tengah Phnom Penh Crown, Choun Chanchav mudah menewaskan Azri Ghani membuatkan Malaysia ketinggalan satu gol.

Masuk separuh masa kedua, Malaysia terus mengasak kubu Kemboja dengan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-47 apabila Hairiey Hakim gagal menyempurnakan tandukan ketika tiada cabaran diberikan.

Harimau Muda akhirnya memperoleh gol pertama pada minit ke-51 juga menerusi sepakan penalti yang tenang disempurnakan Hadi Fayyadh selepas Syafik dijatuhkan dalam petak penalti.

Gol itu merupakan jaringan pertama buat pemain yang berkelana di Jepun itu dalam Sukan SEA Hanoi.

Kealpaan pemain negara yang mengabaikan aspek bertahan membuatkan Kemboja kembali mendahului perlawanan menerusi Sa Ty pada minit ke-61.

Malaysia kemudiannya berterusan mengasak gawang Kemboja bertali arus dan hasilnya Hadi Fayyadh sekali lagi merobek pintu gol Kemboja pada minit ke-68 hasil hantaran Luqman Hakim yang dimasukkan sebelum itu.

Kerja keras anak muda negara termasuk melalui Luqman Hakim, Nik Akif dan Syahir tidak berjaya membuahkan hasil.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram