SELEBRITI dan model terkenal Kendall Jenner menjadi bahan ketawa susulan video aksi memotong timun tular di media sosial.

Aksi itu adalah daripada episod terbaru The Kardashians di mana Kendall, yang dikenali sebagai penggemar sayur-sayuran memotong timun dengan gaya yang sangat memalukan.

Dalam video tersebut, Kendall, ataupun Kendall Nicole Jenner,26, menyatakan bahawa memotong sayur-sayuran adalah perkara yang mudah selepas menolak tawaran ibunya, Kris Jenner memanggil chef untuk menyediakan makanan tersebut.

“Saya akan sediakan makanan sendiri.

“Ia hanya memerlukan beberapa potongan timun.

“Ia sangat mudah”, katanya.

Memetik sumber antarabangsa E!News, kakak kepada model Kylie Jenner itu menerima kritikan dan hentaman daripada netizen kerana aksi amatur dalam pemotongan sayur itu.

“Melihat Kendall Jenner memotong timun adalah perkara sangat menyakitkan yang pernah saya lihat”, kata seorang pengguna Twitter.

“Apabila kau rasa diri kau teruk dalam melakukan sesuatu, lihat Kendall Jenner memotong timun”, komen seorang pengguna Twitter berseloroh.

“Kenapa Kendall memotong timun macam ni?”, tulis seorang lagi pengguna Twitter.

Susulan video yang tular itu, Kendall memberi respon kepada video tersebut di ciapan Twitter, menyatakan bahawa ia perkara yang sangat tragis.