Dr Noor Hisham Abdullah

PENYAKIT kaki, tangan dan mulut (HFMD) dilaporkan meningkat dengan begitu drastik apabila sebanyak 31,661 kes dilaporkan setakat 14 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes itu sekaligus menyaksikan peningkatan 15 kali ganda berbanding tempoh sama pada 2021 iaitu hanya sebanyak 2,121 kes.

Jelas beliau, pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022, sebanyak 7,526 kes HFMD dilaporkan, meningkat 349 peratus berbanding 1,676 kes pada ME sebelumnnya.

“Tahun ini, Selangor menjadi penyumbang kes HFMD terbesar berbanding negeri-negeri lain dengan catatan 8,864 kes.

“Ia diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (4,421 kes), Sabah (2,650 kes), Perak (2,638 kes) dan Kelantan (2,493 kes).

“Manakala negeri-negeri lain mencatatkan sekitar atau kurang daripada 1,500 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Ciri baharu MySejahtera kesan lokasi penyakit berjangkit – Khairy

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, sebanyak 889 wabak dilaporkan dalam negara pada tahun ini.

Jelas beliau, tiga negeri telah mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya (309 wabak), Selangor (111 wabak) dan Perak (105 wabak).

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taman didikan kanak-kanak (tadika), taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pra-sekolah dengan 575 wabak direkodkan di situ.

“Bagi rumah persendirian pula, sebanyak 305 wabak direkodkan manakala pusat jagaan kanak-kanak pula adalah sebanyak 27 wabak,” katanya.

Noor Hisham menjelaskan, wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan dengan epidimiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

Ujar beliau, kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 29,781 kes diikuti kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun sebanyak 1,473 kes.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram