SALAH seorang ahli kumpulan Brave Girls, Yujeong mendedahkan ada menerima ugutan bunuh selain di maki netizen yang sengaja melakukan ‘body shaming’ terhadapnya.

Artis kelahiran Seoul, Korea Selatan itu mendedahkan ugutan tersebut beserta makian netizen menggelar mereka ‘perempuan babi’ dalam rancangan televisyen keluaran KBS, “Diet” pada 14 Mei lalu.

Yujeong, atau nama sebenarnya Nam Yu-Jeong, 31, turut menyatakan bahawa ancaman yang menyakitkan hati itu juga dilontarkan apabila Brave Girls membuat persembahan di sesebuah program.

“Mereka panggil kami babi. Saya juga dapat mesej ugutan bunuh.

“Apabila kami (Brave Girls) membuat persembahan, mesti ada mesej ugutan bunuh daripada mereka.

“Mereka hantar “Aku akan bunuh kau. Kau ingat aku tipu? Kau rasa aku tak boleh bunuh kau?”, katanya memetik portal allkpop.

Kumpulan K-Pop wanita itu turut dihujani makian dan hinaan daripada netizen terhadap tubuh badan mereka.

“Pertama kali kelihatan tubuh badan idol macam ni. Dah macam babi. Mereka tak menjaga pemakanan ke?” luah salah seorang netizen.

“Tahulah dah cuti lama tak keluar show, tapi jagalah pemakanan tu.” kata seorang netizen.

“Buang lemak di perut tu”, komen salah seorang netizen.

Untuk rekod, Yujeong memiliki berat badan yang ideal iaitu 53 kilogram dengan ketinggian 163 sentimeter.

Sebagai informasi, kumpulan Brave Girls mula membuat kemunculan pada April 2011.

Namun, pada 2021, lagu Rollin nyanyian mereka meraih perhatian ramai sehingga tular di seluruh dunia sekaligus mempopularkan band Brave Girls.