Harapan Arsenal untuk layak ke Liga Juara-Juara semakin malap apabila tewas kepada Newcastle United 2-0 pagi tadi. - Gambar Facebook AFTV

HARAPAN Arsenal untuk sekurang-kurangnya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara semakin pudar apabila tewas mengejut kepada Newcastle United dengan keputusan 2-0 pagi tadi.

Skuad The Gunners yang bertandang di Stadium St James’ Park dilihat masih trauma dengan kekalahan kepada seteru mereka, Tottenham Hotspurs minggu lepas.

Pada separuh masa pertama perlawanan, Newcastle yang dikendalikan Eddie Howe tampak lebih garang apabila kerap mengasak kubu pertahanan Newcastle.

Kesilapan penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale nyaris memberi peluang pemain sayap kiri Newcastle, Miguel Almiron untuk menjaringkan gol pada minit 8.

Arsenal yang kehilangan tonggak pertahanan mereka, Rob Holdings akibat kad merah pada perlawanan sebelum ini tampak goyah untuk menyerap asakan bertali arus Newcastle.

Newcastle sekali lagi hampir menjaringkan gol apabila pemain sayap kanannya, Allant Saint-Maximin melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit 35. Mujur Ramsdale bertindak cemerlang untuk menepis rembatan tersebut.

Bermula separuh masa kedua, Howe masih menggunakan skrip yang sama untuk Newcastle, yakni menerapkan permainan berintensiti tinggi menyerang kubu pertahanan Arsenal.

Baca artikel berkaitan: EPL: Bowen bikin Manchester City kempunan tiga mata

Hasilnya, pada minit 54, hantaran lintang Joelinton dari bahagian kanan kubu pertahanan Arsenal berjaya menghasilkan gol selepas Ben White, tertampan masuk bola tersebut.

Kelibat penyerang Newcastle, Callum Wilson sememangnya membuatkan pertahanan Arsenal pening kepala tatkala pemain tersebut sering kali melakukan cubaan berbahaya untuk menjaringkan gol.

Wilson yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan sejak Disember lalu hampir menambah 2 gol buat pasukannya.

Ketika mana bahagian serangan Arsenal mengalami masalah untuk menjaringkan gol, bahagian kubu pertahanan pasukan itu pula dilihat lelah untuk mengelakkan gol daripada pihak lawan.

Pada minit 84, keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Arsenal berjaya dimanfaatkan pemain tengah Newcastle, Bruno Guimares yang merembat masuk bola muntah yang gagal diselamatkan dengan sempurna oleh Ramsdale.

Keputusan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan, menyaksikan impian Arsenal untuk mara ke Liga Juara-Juara semakin malap apabila jatuh ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris dengan 66 mata daripada 37 perlawanan.

Berbaki satu lagi perlawanan liga, Arsenal wajib menang ke atas Everton minggu hadapan dan berharap agar seteru mereka, Tottenham yang berada di tangga keempat dengan 68 mata tewas kepada Norwich City.

Sekiranya gagal untuk layak, peminat Arsenal mungkin perlu menunggu dua tahun lagi untuk Mikel Arteta memberi kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada mereka, seperti kata legenda The Gunners, Bacary Sagna.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram