ADUN Tronoh, Paul Yong. Gambar media sosial

MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menetapkan 29 Jun untuk menyampaikan keputusan sama ada melepaskan atau mensabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan lisan pihak pembelaan dan pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin manakala Yong diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir.

Pada 31 Mac lepas, pihak pembelaan menutup kes mereka selepas selesai memanggil tiga saksi termasuk Yong, 52, dan isterinya Too Choon Looi, 46.

Baca: Bicara kes rogol ADUN Tronoh bermula, tiada konspirasi kata pendakwa

Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Tinggi sebelum ini, memerintahkan Yong membela diri terhadap pertuduhan merogol itu selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

— BERNAMA