SELEPAS tujuh hari melahirkan cahaya mata sulung, pelakon Mira Filzah dan suami memilih nama Wan Khair Amir buat anak lelaki mereka.

Berita tersebut dikongsikan Mira dan Wan Emir menerusi entri di Instagram miliknya.

“Hari ini (16 Mei 2022) hari ketujuh bersama putera tersayang kami. Dengan rasa penuh keinsafan dan kesyukuran, kami menamakan puteri kami sebagai Wan Khair Amir bin Wan Emir Astar.

“Wan Khair Amir. ‘Khair’ membawa maksud ‘baik’ atau ‘elok’ yang diambil daripada nama arwah papa (Wan Mohammad Khair-il Anuar).

“‘Amir’ pula bermaksud ‘orang yang memegang perintah’ atau ‘pemimpin’ yang diambil daripada gabungan nama kami berdua, Emir dan Amirah,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Mira dan suami berkongsi foto sisi tanpa mendedahkan wajah Wan Khair Amir selain turut menyertakan akaun Instagram bayinya.

Sehingga artikel ini ditulis, akaun Instagram Wan Khair Amir yang masih belum memuat naik sebarang foto itu sudah mengumpul hampir 23,000 pengikut.

Dalam pada itu, Mira dan Wan Emir turut berkongsi amalan sunnah iaitu tahnik dan bercukur untuk bayi mereka yang disempurnakan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Don.

“Alhamdulillah, ibadah tahnik dan bercukur juga selamat dilaksanakan. Jazakkallahu khairan buat Ustaz Don Daniyal kerana meluangkan masa untuk bersama kami dalam majlis keluarga ini.

“Moga sunnah Rasulullah SAW terus hidup dan mekar dalam setiap langkah kehidupan wahai putera kami.

“Kami akan usaha dan bertawakal kepada-Mu agar dipimpin setiap langkah Wan Khair Amir dalam menempuh kehidupan di bumi-Mu.

“Membesar sebagai anak yang baik dan soleh serta menjadi insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.

Untuk info, Mira selamat melahirkan cahaya mata sulung pada 10 Mei lalu di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 29, telah mendirikan rumah tangga bersama Emir, 30, pada 3 September 2020.