Kebanyakan isteri merungut kerana perlu memaklumkan suami mereka agar melakukan kerja rumah.

SEORANG pakar terapi perkahwinan berkongsikan satu rungutan yang kerap didengari dari pelanggan wanitanya ke media sosial.

Menariknya, tiada satupun aduan itu mengenai penipuan atau hubungan sulit.

Menerusi video TikTok yang kini tular, Corrin Voeller berkata, kebanyakan isteri merungut kerana perlu memaklumkan suami mereka agar melakukan kerja rumah.

Voeller dari Amerika Syarikat (AS) berkata, pembahagian tugas rumah tangga terbahagi kepada dua kategori tanggungjawab iaitu aktif dan pasif.

Menurutnya, tanggungjawab aktif ialah anda melihat sekeliling rumah untuk perkara yang boleh anda lakukan dan mengambil tanggungjawab untuk perkara yang perlu berlaku di dalam rumah.

“Tanggungjawab pasif pula kesediaan untuk membantu tetapi menunggu seseorang memberitahu anda apa yang perlu dilakukan,” katanya sebagaimana lapor Mail Online.

Voeller percaya isteri perlu meleteri pasangannya untuk menyelesaikan tugas harian di rumah.

“Ia adalah satu aduan utama yang saya dengar daripada wanita yang mengatakan suami masing-masing sedang menunggu mereka untuk menyatakan apa yang perlu dilakukan.

“Dan mereka benar-benar mencari pasangan hidup yang bertanggungjawab secara aktif untuk rumah dan anak-anak serta tidak menunggu isteri mereka memberitahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, video pendek berkenaan telah ditonton melebihi 1.5 juta kali dan menerima pelbagai ulasan.

Tulis seorang wanita, dia sangat bosan apabila ditanya: “Apa yang boleh saya lakukan untuk bantu”.

Walhal katanya, terdapat 100 perkara yang sebenarnya perlu dilakukan sekarang.

Seorang lagi pengguna menambah, dia pernah memberitahu suaminya sebelum ini: “Jika anda melakukan perkara di tempat kerja seperti yang anda lakukan di rumah, anda sudah pun dipecat, bukan?”

‘Ia sangat meletihkan!! Dan gembira saya tidak bersendirian berurusan dengan pasangan mereka,’ tambah seorang lagi pengguna.