DEMI menjayakan wataknya dalam sebuah filem, pelakon Jessica Mila sanggup mendalami Islam termasuk belajar solat dan mengaji.

Menurut pelakon beragama Kristian itu, dia melakonkan watak wanita muslimah dan berhijab iaitu Atikah menerusi filem Mengejar Syurga.

Jessica, atau nama sebenarnya Jessica Mila Agnesia, 30, menyatakan bahawa dirinya perlu bersikap profesional dalam menjiwai watak terbabit sebagai pelakon yang sangat berdedikasi.

“Antara kerja-keras yang perlu saya lakukan adalah cuba guna ucapan solat dalam kehidupan harian.

“Tapi saya lakukan ini kerana watak dalam filem itu. Saya melakukannya dengan profesional.

“Filem ini kan ada unsur keagamaan dan saya sendiri bukan muslim. Jadi, ada cabaran tersendiri di sini.

“Kalau muslim yang taat kan selalunya ada kata-kata biasa mereka ucapkan. Misalnya kalau terkejut sebut astagfirullah,” katanya.

Tambahnya lagi, wataknya yang berunsur keagamaan itu juga harus fasih menyebut kalimat-kalimat tertentu.

“Ucapan seperti Masya-Allah, Alhamdulillah itu banyak disebut dalam karakter Atika. Jujur, saya memang tidak biasa pakai kata-kata itu tapi saya sedang belajar perlahan-lahan,” ujarnya.

Untuk rekod, Jessica pernah memegang watak Denay dalam filem berunsur keagamaan iaitu Surga di Telapak Kaki Ibu 2016.