Tun Dr. Mahathir Mohamad GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai penipu dan pembohong tegar.

Dr Mahathir berkata, hal itu selepas Ahmad Zahid mendakwa yang beliau berketurunan India dan telah mempergunakan Melayu selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

“Dulu semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan kononnya kad pengenalan saya yang asal menamakan saya sebagai Mahathir anak lelaki (a/l) Iskandar Kutty.

“Dia dakwa bahawa kad pengenalan biru saya dengan nama tersebut dihantar kepadanya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

“Saya tunggu apakah Ahmad Zahid akan keluar bukti ini pada khalayak ramai tetapi sampai habis PRU-14 tidak dilakukannya,” ujar beliau dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Baca artikel berkaitan: King itu rakyat, Tun M sifatkan kenyataan Najib tak siuman

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut mengakui yang beliau mempunyai darah keturunan India dan perkara tersebut telah dinyatakan dalam buku biografinya.

Begitupun, tegasnya, sijil lahir dan kad pengenalan beliau adalah Mahathir bin Mohamad.

“Mengikut takrifan Perlembagaan Malaysia (Perkara 160), saya Melayu dan perjuangan saya adalah untuk mempertahankan kepentingan bangsa saya.

“Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum merdeka dan kami semua beragama Islam.

“Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah Bahasa Melayu serta adat yang kami amalkan adalah adat Melayu,” katanya.

Dr Mahathir menambah, beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid yang didakwa memfitnah dirinya.

Ujarnya, beliau turut mencabar Ahmad Zahid yang mempertikai diri status bangsanya sebagai orang Melayu untuk menunjukkan bukti.

“Sebelum ini saya tidak gemar menggunakan mahkamah tetapi kali ini saya perlu bertindak kerana sikap pembohong Ahmad Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiarkan begitu saja.

“Ia buka saja kerana merosakkan reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong UMNO dan orang Melayu lain demi untuk kekal berkuasa adalah amat merbahaya,” katanya.

Dr Mahathir menambah, beliau akan mengambil tindakan mahkamah sekiranya Ahmad Zahid tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah berhubung isu tersebut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram