Ain Edruce GAMBAR: Abd Razak Aid

PELAKON dan pengacara Ain Edruce mendedahkan bahawa dirinya pernah menolak tawaran menyanyi daripada beberapa pihak kerana kurang yakin dengan suaranya.

Ain, atau Nurulain Edruce, 30, turut meluahkan bahawa dirinya tidak bersedia lagi untuk ke bidang nyanyian kerana gementar jika dipanggil untuk membuat persembahan secara langsung.

“Saya pernah menerima tawaran daripada beberapa pihak untuk menyanyi. Tapi saya tak yakin dengan lagu yang ditawarkan.

“Lagu yang ditawarkan pun lagu yang bergenre sedih, patah hati dan sebagainya. Jadi tak boleh lah. Bukan tak minat, tapi takut vokal tak sampai.

“Kalau dipanggil buat persembahan secara langsung, habislah aku!, ” katanya berseloroh.

Ain Edruce GAMBAR: Abd Razak Aid

Walau bagaimanapun, pelakon drama komedi J.K.K itu turut menyatakan bahawa dia akan mempertimbangkan lagu yang bersesuaian dengan suaranya jika diberi tawaran.

“Jika diberi tawaran menyanyi lagu yang bergenre santai dan sewaktu dengannya, mungkin boleh.

“Saya akan pertimbangkan lagu yang bersesuaian dengan suara saya jika diberi tawaran,” katanya kepada URTV.

Ain Edruce GAMBAR: Abd Razak Aid

Ain ditemui pada sidang media program Karaoke Superstar di The Gardens Theatre, Aras 6, The Gardens Mall, (North Side), Mid Valley City petang, semalam.

Selebriti jelita itu akan tampil sebagai pengacara bersama Datuk Aznil Nawawi, 59, yang akan bersiaran pada setiap Ahad bermula 5 Jun ini.

Untuk rekod, Ain pernah mengeluarkan lagu di laman Youtube miliknya berjudul Overthink pada dua tahun yang lalu.

Lagu yang dinyanyikan bersama Akwa Arifin itu kini meraih lebih daripada 800 ribu tontonan.

Namun, menurut Ain, lagu itu bertujuan untuk projek Youtube sahaja dan tidak mengharapkan apa-apa hasil sebelum ini.

“Lagu Overthink tu saya buat suka-suka saja untuk projek Youtube saya. Tak sangka rupanya ramai orang suka,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ain Edruce bakal kembali sebagai Lola dalam musim baru rancangan drama komedi J.K.K tidak lama lagi.