Pemain perseorangan negara, Lee Shun Yang (kiri) dan Shaqeem Eiman memberikan mata kemenangan kepada Malaysia. - Gambar BAM

WALAUPUN tidak terlalu diberikan harapan kerana menurunkan pemain muda, Malaysia berjaya melangkah ke final acara badminton berpasukan lelaki pada temasya Sukan SEA Ke-31 di Gimnasium Bac Giang, hari ini.

Malaysia bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menang 3-2 selepas pasukan negara bangkit dengan mencatatkan kemenangan manis melalui perlawanan ketiga, keempat dan perlawanan penentuan.

Kekalahan pertama Malaysia dicatatkan selepas pemain perseorangan pertama Singapura, Loh Kean Yew mudah menewaskan pemain perseorangan negara, Kok Jing Hong dengan mata 21-12 dan 21-12.

Kem badminton negara terus cemas apabila dalam perlawanan kedua, pasangan bergu negara, Arif Junaidi dan Man Wei Chong juga tewas kepada pasangan Singapura, Hee Yong Kai dan Loh Kean Hean 21-19 21-13.

Bagaimanapun, pemain perseorangan negara, Lee Shun Yang berjaya menewaskan pemain Singapura, Jason Teh dengan 21-12, 21-23 dan 21-16 yang seterusnya memberikan kembali harapan kepada skuad muda negara untuk meneruskan perjuangan.

BERITA BERKAITAN Lee Zii Jia juara Badminton Asia, tewaskan jaguh Indonesia

Dalam permainan keempat, Chen Tang Jie dan Muhammad Haikal memberikan persembahan permainan yang hebat dengan menewaskan pasangan Singapura, Danny Christanan dan Andy Kwek dengan straight set, 21-17 dan 21-15.

Kemenangan pasangan yang baru digandingkan itu menjadikan kedudukan 2-2 dan pemain muda, Shaqeem Eiman menjadi wira malam ini apabila memastikan pasukan Malaysia layak ke final apabila menewaskan Joel Koh juga dengan permainan straight set, 21-10 dan 21-17.

Malaysia akan bertemu Thailand dalam perlawanan akhir esok bagi menentukan pemenang pingat emas atau perak, selepas Thailand turut menewaskan Indonesia 3-2 dalam perlawnaan separuh akhir. – UtusanTV