Hishammuddin Tun Hussein mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri berkaitan COVID-19 buat kali terakhir di ibu negara hari ini./Gambar FB Hishammuddin

SEJAK COVID-19 diisytihar pandemik pada Mac 2020, rakyat Malaysia dan prosedur operasi standard (SOP) sudah sebati.

Suatu ketika, terdapat 181 SOP dan setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik, kini hanya tinggal satu SOP asas dan sembilan garis panduan.

Malah, hari ini juga menyaksikan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 adalah yang terakhir selepas 16 kali bersidang sejak kali pertama diadakan pada 14 September lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein iaitu pengerusi mesyuarat kuartet itu berkata, sepanjang sembilan bulan, mesyuarat tersebut adalah antara pendekatan dalam usaha kerajaan membuka semula negara secara berperingkat dan selamat.

“Semua sektor telah dibuka, setiap perayaan telah dibenarkan untuk disambut, pelitup muka juga sudah tidak diwajibkan di tempat terbuka malah, daftar masuk menggunakan MySejahtera juga sudah tidak lagi menjadi kewajipan.

“Matlamat utama kerajaan di sebalik usaha ini adalah bagi membolehkan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seharian secara hampir normal serta belajar hidup bersama virus COVID-19,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet terakhir, hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Jelas Hishammuddin, pembukaan sempadan negeri dan negara secara berperingkat turut menjadi antara fokus utama mesyuarat kuartet dan perkara itu rumit.

Katanya, ini memandangkan ia melibatkan pergerakan keluar masuk negeri dan negara dalam skala yang besar.

“Situasi ini sekali gus merumuskan bahawa usaha-usaha yang dibuat oleh Kuartet telah membolehkan kehidupan seharian rakyat telah kembali kepada situasi hampir normal sekali gus menepati matlamat awal penubuhan Kuartet,” ujarnya.

Hishammuddin pada masa turut memberi penghargaan kepada semua ahli tetap mesyuarat itu terdiri daripada empat menteri termasuk beliau sendiri dan juga kementerian lain yang terlibat secara berkala.

“Terima kasih juga Majlis Keselamatan Negara sebagai peneraju dan semua 29 agensi serta pasukan beruniform yang terlibat termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.