Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir pada majlis makan malan dan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas Ke-48 bagi tahun 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

KERAJAAN menggesa Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menghapuskan budaya ‘orang tengah’ sebagai tindakan segera menangani isu kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sendiri pernah mengisytiharkan 2014 sebagai tahun ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’ sewaktu menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurut beliau, ‘orang tengah’ telah memerah keringat petani dan nelayan serta memanipulasikan harga di pasaran.

“Jihad ini perlu diteruskan NAFAS menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah-buahan, penambahan pasar tani serta pasar-pasar nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu majlis makan malan dan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas Ke-48 bagi tahun 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan turut menggesa NAFAS dan LPP melaksanakan perubahan serta anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

Baca artikel berkaitan: Pesawah dapat bantuan RM200 untuk enam bulan – PM

Ismail Sabri menegaskan, NAFAS juga perlu memberi ‘nafas’ baharu kepada sektor makanan berasaskan pertanian melalui penerapan teknologi tinggi dan pendigitalan bagi meningkatkan pengeluaran pertanian.

Kata beliau, ia sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

“Suka saya menarik perhatian bahawa Malaysia pada ketika ini membelanjakan lebih RM50 bilion untuk mengimport bahan makanan.

“Kerajaan juga telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan pelan jangka panjang serta pendek bagi mengelak krisis makanan daripada berlaku di negara ini.

“Kementerian itu juga diminta supaya mengambil tindakan segera berhubung isu kos sara hidup yang meningkat,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram