PELAKON cantik Mira Filzah yang selamat melahirkan anak pertamanya pada minggu lepas telah memuat naik gambar dia bersaama keluarga kecilnya selepas dibenarkan pulang ke rumah.

Menerusi kongsian yang dibuat oleh pelakon berusia 29 tahun itu, ia telah mendapat perhatian netizen dan juga pengikutnya di laman Instagram.

“Sedikit bingkisan semasa bayi sedang tidur (A little throwback while baby is sleeping ).

“Gambar pertama kami bertiga semasa dibenarkan pulang dari hospital minggu lepas,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Foto terbabti menuai pujian netizen apabila wajah Mira kelihatan berseri dan cantik walaupun baru saja melahirkan anak pertama.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filza Badioezaman turut tertarik untuk membalas beberapa komen dari netizen.

“Kali pertama lihat ibu selepas bersalin cantik sebegini. Sangat-sangat bidadari Syurga,” puji salah seorang pengikutnya.

“Ya Allah jangan cakap macam tu! Mira cuma rasa gembira nak ‘discharge’, tak sabar nak balik, nak bawa bayi balik rumah. Bangun pun awal sebab teruja nak ‘discharge’!

“Sempat juga barhias sedikit, pakai tudung. Tapi keluar dari wad sampai ke kereta tetap pakai kerusi roda. Sama sahaja seperti orang lain.

“Tak berjalan kerana tak larat. Gambar-gambar ini biasa lah boleh berdiri sekejap-sekejap,” balas mira.

Selain wajahnya dipuji, tudung yang dipakai Mira turut menjadi perhatian kerana dia kelihatan cantik memakainya.

“Nak nangis lah sebab mira ‘discharge’ pun sempat lilit shawl. Saya ‘discharge’, nak angkat punggung pun sakit. Kejang (cramp) satu badan,” luah seorang pengguna Instagram.

Malah, Mira turut mengambil kesempatan untuk membalas komen tersebut dengan memberitahu badannya masih sakit-sakit namun gembira dapat pulang ke rumah.

“Lilit shawl pun sambil duduk. Keluar daripada wad turun ke lobi hospital ke kereta semua pakai kerusi roda.

“Sama je kita. Sakit juga badan tu tapi gembira dapat ‘discharge’,” balas mira kepada pengikutnya itu.

Terdahulu, Mira dan suaminya telah berkongsi nama cahaya mata mereka iaitu Wan Khair Amir yang merupakan gabungan nama Allahyarham bapa mertuanya, Wan Mohammad Khair-il Anuar dan juga nama mereka berdua.

Untuk rekod, Mira berkahwin dengan Wan Emir Astar pada 3 September 2020.