Syarat raih cinta Allah

Dalam sebuah hadis, Baginda s.a.w. menyatakan, salah satu syarat untuk meraih kasih dan cinta Allah s.w.t. seorang Muslim itu mestilah mempunyai sikap yang kuat.

Hadis dari Abu Hurairah r.a. ini berbunyi,

“Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi dari orang mukmin yang lemah. Sedangkan setiap orang itu mempunyai kebaikannya, (imannya). Oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat padamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas.

Sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata, “kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini. Tetapi katalah, “Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan Nya Ia lakukan. Kerana perkataan kalau itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (HR Muslim)

Imam an-Nawawi dalam kitab Riyadus Solihin memberi definisi terhadap hadis ini dengan maksud, Muslim yang kuat terletak pada imannya. Walau begitu, orang mukmin yang kuat dan orang mukmin yang lemah, masing-masing tetap mempunyai kebaikannya tersendiri.

Akan tetapi seorang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan dicintai Allah. Ini merupakan satu bentuk dorongan dan motivasi bagi umat Islam memperkuat imannya, agar dapat menarik kasih dan cinta  Allah.

Hari ini umat Islam masih dilihat lemah dari pelbagai segi terutama dalam aspek ekonomi, pendidikan, jati diri dan kemajuan. Mereka tidak bersatu mencari titik persamaan waima yang terkait dengan Islam.

Sedangkan sebagai seorang yang memegang status Muslim, idealnya mesti memiliki sifat berani dan kuat sebagaimana umat terdahulu. Itulah ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seorang yang mengaku Islam. Kuat bukan sahaja dari sudut jasmani, malah mesti juga perlu kuat dari segi emosi, rohani dan iman.

Situasi ini berlaku di mana sahaja. Lihat sahaja kepada negara Palestin yang menjadi mangsa keganasan Israel berpuluh tahun lamanya. Bukan itu sahaja, bahkan juga melingkari sebahagian besar negara Islam yang lain di mana umat Islamnya merupakan minoriti. Mereka bukan sahaja ditindas dengan kejam, bahkan dinafikan hak kerakyatan dan tidak mendapat perlindungan yang sewajarnya dari pemerintah.

Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 6.5 juta pelarian Syria terbuang dari negara sendiri. Sebahagian besarnya berjaya melepaskan diri mencari perlindungan di negara-negara jiran dan bertebaran di Turki, Mesir, Jordan, Iraq dan Lubnan.

Malah ada juga yang menuju ke Eropah dan Asia. Nasib yang sama berlaku kepada etnik Rohingya di Myanmar, Etnik Uighur di China, di India dan banyak lagi negara yang menekan umat Islam hingga mereka tidak punya pilihan selain menjadi pelarian. Itulah realiti yang mewarnai dunia hari ini.

Di mana sahaja pelosok celahan dunia, kelihatan umat Islam seakan sudah menjadi umat kelas kedua. Mereka dipijak-pijak, dihina, dibunuh diperlekeh, disakiti dan dilihat sebagai umat yang sangat lemah. Seolah-olahnya ia tidak mampu berdiri sendiri, tetapi  mengharapkan pula tongkat dari Barat.

Kita harus akur dan mengakui bahawa umat Islam bukan lagi menjadi juara peradaban sebagaimana ratusan tahun yang lalu. Hari ini sesiapa sahaja yang menjadi juara dalam penerokaan ilmu, maka dialah juara peradaban. Jika dahulu orang Eropah datang ke Kufah, Basrah, Baghdad, atau Madinah untuk mencari dan meneroka sumber ilmu. Akan tetapi kini, keadaan menjadi sebaliknya apabila orang Islam pula yang pergi ke England dan Eropah untuk menimba ilmu.

Budaya membaca semakin hilang dalam diri umat Islam menyebabkan mereka gagal menjadi juara dunia

Kita pernah mempunyai cendekiawan yang sangat hebat seperti Ibnu Khaldun, al-Miskawih, al-Khawarizmi, Ibnu Sina, dan ramai lagi tokoh terkemuka. Kita juga satu masa lalu menguasai bidang ekonomi, ketenteraan, politik, perdagangan dan sebagainya. Umat Islam waktu itu dilihat bangsa yang gemilang, hebat dan tinggi peradabannya. Bahkan banyak pula negara bukan Islam menjalin kerjasama dan bernaung di bawah panji-panji Islam

Namun hari ini keadaannya berbeza sama sekali. Kita melihat umat Islam semakin meluntur penerokaan terhadap ilmu berbanding bukan Islam terutama barat. Buktinya berapa ramai umat Islam yang menjadikan budaya membaca sebahagian dalam hidup mereka? Sedangkan wahyu pertama sekali dari Allah s.w.t. adalah berkenaan dengan suruhan membaca.

Seharusnya budaya membaca perlu menjadi fitrah semula jadi bagi umat Islam, sebagaimana dikatakan Ibnu Khaldun, “seperti ikan di air dan burung di udara”. Dalam konteks ini, fitrah semula jadi ikan adalah berenang di dalam air. Tatkala berenang, ia tidak perlu memikirkannya perlu atau tidak berenang. 

Begitu juga dengan burung, jika fitrahnya terbang di udara, maka ia tak perlu berfikir untuk terbang, terus sahaja ia kembangkan sayapnya. Itulah yang dikata sebahagian daripada kehidupan.

Kita hendak begitu jugalah dalam budaya yang menjadikan amalan membaca sebahagian daripada kehidupan. Kita tidak perlu berfikir kenapa kita perlu membaca. Kita juga tidak melihat orang membaca di mana-mana. Langsung tiada, tidak seperti bangsa Eropah yang menjadikan membaca sebagai cara mengurangkan stres.

Sekiranya bacaan ringan pun tidak berminat, apatah lagi bacaan berat. Itulah masalah utama yang membelenggu umat Islam kini yang tidak melihat ilmu sebagai wahana dalam hidup. Hari ini, segala kemampuan umat Islam berubah secara total.

Umat Islam lebih mementingkan kuasa, harta dan kedudukan berbanding ilmu. Apabila mereka gagal dalam aspek penerokaan ilmu, itu menjadi penanda aras yang umat Islam adalah lemah dan bukan menjuarai peradaban.

Akhirnya inilah yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang. Anak-anak muda lebih gemar dan cenderung untuk mengisi masa dengan menikmati dunia alam maya. Leka dengan permainan komputer dan membuat pelbagai kandungan semata-mata untuk tatapan di media sosial bagi meraih pujian dan jumlah like yang tinggi.

Jika keadaan ini berterusan, maka tidak mustahil satu masa nanti segala yang kita miliki akan hilang dan ketika itu pastinya umat Islam tidak hanya sekadar seperti buih di lautan, banyaknya ia namun tidak langsung memberi manfaat dan hilang begitu sahaja. Wallahu a’lam

________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare