PELAKON Saharul Ridzwan menafikan bahawa dirinya ada niat untuk menunjuk-nunjuk mengenai perubahannya yang lebih dekat dengan Islam.

Sebaliknya, Saharul, atau Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 33, menyatakan dirinya mahu mengajak lebih ramai pengikut media sosialnya ke arah kebaikan.

“Bab ini agak sensitif untuk saya jawab tapi ramai juga yang cakap bila dah semakin dekat dengan Islam tidak semestinya kita perlu tunjuk di media sosial. Tidak kurang juga yang kata nak buat baik biarlah simpan untuk diri sendiri saja.

“Tapi saya ambil pendekatan selama 10 tahun berlakon saya selalu ajak orang ke arah hiburan dengan drama-drama saya, tapi sekarang ini saya nak gunakan kelebihan yang memiliki empat juta pengikut di Instagram untuk sesuatu yang baik”, katanya memetik laporan Harian Metro.

Tambah pelakon kelahiran Kuantan itu lagi, dia hanya mahu kongsikan aktiviti-aktiviti hariannya pada masa kini dan tidak meminta sanjungan daripada para pengikut.

“Kalau sebelum ini umum mengenali saya sebagai pelakon saja, tapi sekarang ini saya cuba kongsikan apa yang saya pakai, tutur, makan dan minum sebagai asbab kebaikan untuk semua yang kenal saya.

“Jadi siapa yang ikut saya itu Alhamdulillah tapi jangan sesekali sanjung sebab saya tiada apa-apa. Saya hanya orang biasa yang nak buat kebaikan untuk semua,” katanya.

Pelakon drama Hati Perempuan itu turut menyatakan bahawa dia memperlahankan kerjayanya sebagai pelakon kerana sibuk dengan perniagaan yang diuruskannya sekarang.

“Saya tak pernah mengehadkan aktiviti seni, tapi perniagaan yang saya uruskan sekarang ini yang membuatkan saya agak sibuk.


“Jadi bila dah sibuk terpaksalah saya perlahankan kerjaya saya sebagai pelakon. Insya-Allah sekejap saja. Saya tak bimbang pun jika ada yang menganggap saya mahu tinggalkan dunia seni kerana rezeki dalam bidang ini luas. Menjadi pelakon tak semestinya di TV saja, tapi ada banyak saluran lain,” katanya.

Untuk rekod, Saharul Ridzwan telah menunaikan umrah pada 1 April yang lalu bersama isterinya selama dua minggu.