Ladang angin luar pesisir Blyth

TENAGA Nasional Berhad (TNB) terus meningkatkan hala tuju kelestarian dalam portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) dan sasaran sifar bersihnya.

Ia menerusi pengambilalihan 49 peratus anak syarikat milik penuh TNB, Vantage RE Ltd. dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) daripada EDF Renewables (EDFR) iaitu anak syarikat kepada syarikat utiliti Perancis, Electricite de France (EDF).

TNB dalam kenyataan memaklumkan, pengambilalihan yang dimeterai pada 18 Oktober 2021 itu menandakan kemasukan sulung syarikat itu ke pasaran angin luar pesisir antarabangsa.

Menurut TNB, BODL ketika ini memiliki aset angin luar pesisir di luar pantai Blyth, Northumberland, England.

“Aset tersebut termasuk lima turbin dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 41.5 megawatt (MW) (Blyth 1) dan hak pembangunan projek angin luar pesisir terapung sehingga 58.4 MW (Blyth 2) yang terletak di luar pantai Northumberland.

“Lima turbin 8.3MW Blyth 1 dipasang dengan teras berasaskan graviti yang menggunakan beban konkrit untuk memastikan turbin berada di tempatnya dengan selamat tanpa menembusi dasar laut.

“Ladang angin itu telah beroperasi sejak 2017 di bawah skim subsidi Renewable Obligation Certificate (ROC) yang dijangka memberikan pulangan stabil.

Baca artikel berkaitan: TNB muktamad pembelian aset tenaga angin di UK

“Blyth 2 pula merupakan projek angin luar pesisir terapung inovatif yang kini dalam peringkat awal pembangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, TNB memaklumkan pengambilalihan itu merupakan satu daripada pemerolehan strategik terancang untuk TNB mempercepat perjalanan melaksanakan visi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) globalnya.

Katanya, TNB telah mengumumkan hala tuju kelestariannya tahun lalu iaitu satu pelan tindakan dengan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Hala tuju tersebut disokong komitmen TNB mengurangkan 35 peratus intensiti pelepasan karbon serta 50 peratus daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035,” jelas TNB.

Vantage RE telah dilancarkan pada 1 Julai 2021 untuk memiliki, mengendalikan dan mengurus
portfolio aset tenaga boleh baharu (RE) TNB di UK dan Eropah.

Sehingga kini, ia telah mencapai portfolio RE sebanyak 530.4MW termasuk tenaga angin dalam dan luar pesisir serta ladang solar di negara tersebut.

Sehingga Disember 2021, TNB mempunyai jumlah kapasiti RE sebanyak 3,487.2 MW termasuk 2,771.4MW di Malaysia dan 715.8MW di seluruh UK, Turki dan India serta menyasarkan peningkatan kapasiti RE kepada 8,300MW menjelang 2025.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram