Pengarah Urusan Kulim, Mohd. Faris Adli Shukery (tengah, kiri) bersama Pengerusi Greenheart, Richard Price selepas majlis menandatangani MoU antara kedua-dua syarikat.

KULIM (Malaysia) Berhad sedang meneroka usaha sama pembangunan projek pertanian pintar yang akan dilaksanakan di Sedenak, Johor.

Ia susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kulim dengan Greenheart Produce Pte. Ltd. (Greenheart) ke arah melaksanakan projek tersebut.

Kulim dalam kenyataan memaklumkan, projek tersebut akan memanfaatkan Sistem Pertanian Pintar GreenHouse milik Greenheart.

Menurut Kulim, sistem itu merangkumi pengurusan iklim, kawalan perosak biologi dan amalan saliran pintar yang dijadualkan bermula awal tahun hadapan.

Syarikat itu menyasarkan untuk menghasilkan tanaman segar seperti lada benggala, tomato ceri, cili dan sayur-sayuran lain selaras komitmen membangunkan ekosistem pertanian mampan.

MoU tersebut ditandatangani Pengarah Urusan Kulim, Mohd. Faris Adli Shukery dan Pengerusi Greenheart, Richard Price.

Sementara itu, Mohd. Faris Adli memaklumkan, kerjasama tersebut merupakan salah satu usaha Kulim membangunkan pertanian mampan dan meningkatkan kelebihan daya saing dalam industri pertanian.

Katanya, ia juga berupaya menyumbang lebih banyak kepada pertumbuhan ekonomi negeri Johor.

Baca artikel berkaitan: Gas Malaysia, Kulim kerjasama perkukuh tenaga hijau

“Pemeteraian MoU ini sejajar dengan teras strategik syarikat untuk meletakkan diri sebagai syarikat peneraju keselamatan makanan negara,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Richard turut berkongsi sentimen yang sama dengan Mohd. Faris Adli dan teruja dengan peluang yang diberikan.

“Kerjasama ini adalah satu langkah positif ke arah mempunyai jejak ketara dalam bekalan pertanian untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

“Ia juga menangani keperluan keselamatan makanan bukan sahaja untuk Johor tetapi seluruh negara,” jelasnya.

Mengutamakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Kulim dan Greenheart berusaha meminimumkan penggunaan racun perosak dan bahan kimia berbahaya.

Kedua-dua syarikat juga akan menggunakan sumber semula jadi dalam operasi pertanian pintar dan meningkatkan kecekapan melalui aplikasi teknologi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram