PENYANYI Ziana Zain tidak menolak dakwaan bahawa hatinya masih terbuka untuk bernikah semula.

Walau bagaimanapun, Ziana atau Siti Roziana Zain, 54, menyatakan bahawa dia tidak berani untuk menafikan apa-apa dakwaan mengenai dirinya apabila disoal mengenai jodoh.

Menurut pelantun Madah Berhelah itu, tumpuannya kini hanya mahu fokus terhadap kerjaya nyanyian dan membesarkan anak-anak.

“Saya kini hanya memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai penyanyi dan anak-anak. Saya rindu sangat nak menyanyi.

“Saya tak boleh kata tak terfikir mengenai jodoh. Nanti saya cakap macam ni, esok lusa tiba-tiba kahwin.

“Jadi saya berserah kepada takdir,” katanya kepada URTV.

Penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka itu mendedahkan bahawa dirinya tidak menetapkan sebarang kriteria untuk mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya.

“Mengenai kriteria jodoh, saya tak berani nak jawab.

“Saya hanya ingin mereka menerima dan membimbing keluarga saya dalam aspek agama dan sebagainya,” ujarnya.

Ziana ditemui pada sidang media konsertnya bersama Anuar Zain di Clarke 1, Level 6, Le Meridien Kuala Lumpur, semalam.

Tambah pelantun lagu Terlerai Kasih itu lagi, dia bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan kepadanya dan meminta jasa baik peminat untuk sentiasa berdoa agar dirinya dipanjangkan umur serta dimurahkan rezeki.

“Saya bersyukur dengan apa yang saya terima. Saya percaya jika saya minta yang baik baik, Allah akan kurniakan rezeki dalam bentuk yang berbeza. Apakah rezeki yang bakal dicurahkan kepada saya, Allahualam, sabar.

“Hadiah yang istimewa daripada peminat ialah doa daripada peminat. Doakan saya dipanjangkan umur, disihatkan tubuh badan dan dimurahkan rezeki.

“Itu adalah doa yang paling tak ternilai bagi saya”, ujarnya.

Untuk rekod, Ziana pernah bernikah dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri, 57 pada 1998 namun telah bercerai pada 2018.

Daripada perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Amar Armin Zaharin, Muhammad Airil Armin Zaharin, Muhammad Aiman Armin Zaharin, dan Siti Nur Kaseh Armin Zaharin.

Dalam perkembangan lain, konsert Ziana bersama Anuar Zain akan berlangsung pada 6 Ogos hadapan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tiket Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur 2022 dijual pada harga bermula RM288, RM588, RM788, RM988 sehingga RM1188.

Walau bagaimanapun, tiket berharga RM288 dan RM1188 (VIP) sudah habis dijual.

Tiket tersebut sudah boleh dibeli secara dalam talian di www.excitix.com.my.