Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman dan Ketua Pegawai Eksekutif Regional Group of Qatar, Sheikh Abd. Rahman bin Khalifa bin Abdul Aziz Al-Thani bertukar dokumen perjanjian sambil disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah apabila menjadi universiti awam pertama negara berjaya membuka cawangan di luar negara.

Menurut UKM dalam laman Facebook, cawangan luar negara pertama itu dibuka di Doha, Qatar dengan pengambilan pelajar sulungnya pada Oktober depan.

Kejayaan UKM dalam menjadi pemangkin bagi universiti awam mengembangkan sayap ke luar negara itu direleasikan melalui majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di Doha, semalam.

MoA tersebut ditandatangani UKM dengan sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan Qatar iaitu The Regional Group of Qatar.

Perjanjian tersebut ditandatangani Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman dan Ketua Pegawai Eksekutif Regional Group of Qatar, Sheikh Abd. Rahman bin Khalifa bin Abdul Aziz Al-Thani.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Baca artikel berkaitan: KPT lulus penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia

Sementara itu, Kementerian Pengajian Tinggi dalam hantaran di Facebook memberitahu, pembukaan cawangan UKM di Qatar akan meningkatkan kerjasama dalam perundingan dan penyelidikan.

Selain itu, ia juga memberi penawaran kursus dan memantapkan jenama UKM di negara-negara Arab.

“Melalui perjanjian yang ditandatangani pada 26 Mac lalu, UKM bersetuju menawarkan program-program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara luar pesisir di Doha.

“The Regional Group bertanggungjawab dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan fasiliti serta infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

“UKM pula bertanggungjawab menyediakan input akademik yang melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, jaminan kualiti dan pengijazahan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram