Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Kedah berlangsung di Masjid Zahir, Alor Setar hari ini./Gambar FB TH

BAKAL jemaah haji remaja berumur 12 hingga 18 tahun disaran untuk mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 sebagai langkah tambahan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jemaah haji remaja boleh mengambil dos penggalak COVID-19 sekurang-kurangnya lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.

“Bagi remaja yang telah lengkap mengambil dos primer dan didapati mengalami jangkitan COVID-19 mereka layak menerima dos penggalak sebaik sahaja pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairy, pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 itu boleh diberikan dalam sela masa dua minggu sebelum dan selepas vaksin lain diberikan.

Ini memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan vaksin lain seperti meningococcal, influenza atau pneumococcal,

Katanya, jemaah haji boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir secara walk-in tanpa janji temu di pusat pemberian vaksin (PPV) yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan seperti bukti surat tawaran menunaikan haji.

Baca: Tahniah. Kes baharu terus menyusut minggu ke minggu

Surat tawaran panggilan kedua jemaah haji telah dikeluarkan

Ujar beliau, sebelum ini KKM menyarankan semua bakal jemaah haji yang berusia 60 tahun dan ke atas serta jemaah berusia 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk untuk mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji semasa berada di Tanah Suci dengan mengambil kira perhimpunan yang ramai serta melibatkan jemaah haji seluruh dunia,” katanya.

Khairy berkata sebagai langkah pencegahan dan kawalan, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawa semua jemaah haji perlu mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum berlepas selain turut mengesyorkan pengambilan dos penggalak bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 terutamanya di tempat-tempat sesak dan juga di dalam pengangkutan awam di negara tersebut.