PENYANYI rap, Luca Sickta mendedahkan bahawa dia dan pasangan duonya Kmy Kmo sentiasa mengalu-alukan kolaborasi bersama bintang rap legenda, Malique Ibrahim.

Menurut Luca, atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin, nama ‘Mr. General’ itu ada di dalam senarai projek lagu yang akan datang.

“Insya-Allah kalau ada rezeki dengan ‘brother M’ (Malique), sudah tentu kami akan mengalu-alukan penampilannya.

“Nama dia memang ada dalam senarai kami tapi rezeki belum sampai lagi.

“Kalau ada rezeki, adalah lagu kami bersama”, katanya kepada URTV.

Luca ditemui pada majlis Rumah Terbuka Raya anjuran Universal Music Malaysia di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, semalam.

Penyanyi lagu 7 Nasihat itu juga turut menyatakan bahawa dia bersama Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim tidak dapat mengesahkan penampilan Malique bersama mereka.

“Sekarang ni saya dan Kmy akan mengambil peluang yang sedia ada terlebih dahulu. Apa yang boleh terjadi, kami jadikan.

“Apa yang belum terjadi tu, kami relaks dulu. Tunggu rezeki sampai,” ujarnya.

Untuk rekod, Luca dan Kmy merupakan duo rap yang mendapat didikan daripada Malique suatu ketika dahulu di Qarma Music.

Ketika itu Luca merupakan penolong jurutera bunyi di label tersebut manakala Kmy merupakan salah seorang ahli Nukilan bersama Zizi Kirana dan Afif Tirmizie.

Dalam perkembangan lain, mereka bakal mengeluarkan single terbaru pada awal bulan Jun ini.

Lagu itu akan menggandingkan mereka bersama seorang artis dan genre lagu tersebut ialah rock, hip hop dan nusantara.

Walaupun tidak mendedahkan identiti penyanyi terbabit, Luca memberitahu bahawa individu tersebut merupakan artis yang dikenali ramai.