amalan naikkan seri muka
Sekadar gambar hiasan

“Sebelum kahwin nanti, jangan lupa pergi mandi bunga tau. Bukan apa, nanti di hari perkahwinan, tak adalah muka tu kusam je orang tengok, biar ada seri sikit.”

Dialog sebegini adalah lumrah yang sering dipertuturkan dalam masyarakat. Bukan setakat orang dulu-dulu, tetapi generasi sekarang juga sudah tidak asing dengan amalan mandi bunga untuk menaikkan seri wajah.

Ia tidak lain tidak bukan, supaya kelihatan menarik dan cantik di pandangan orang ramai sehingga tetamu terpegun dengan aura kecantikan sang raja sehari.

Itu fenomena biasa, setiap insan ingin kelihatan cantik. Tidak kira cantik dalaman atau luaran. Yang banyaknya, kecantikan luaran lebih diutamakan. Disebabkan itu, ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit  bahkan jutaan ringgit, semata-mata untuk kelihatan putih, gebu, tegang, muda, cantik dan menarik.

Kalau dahulu, kecantikan hanya sinonim dengan kaum wanita, hari ini, golongan lelaki juga tidak ketinggalan. Lihat sahaja produk kecantikan untuk kaum Adam, tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Perkara ini langsung tiada salahnya jika dikawal dengan pemikiran yang waras dan tertakluk dalam batas syariat. Kecantikan itu fitrah, Allah juga cantik dan suka akan kecantikan.

Yang  tidak dibolehkan apabila terlalu taasub untuk mengejar kecantikan, glamor, dan  mendambakan pujian manusia. Dibimbangkan menjadi riak, takabbur dan sombong. Hukumnya haram di sisi Islam.

Namun ada juga yang mengambil langkah penjimatan dengan menggunakan rawatan tradisional untuk cantik.  Antaranya membuat rawatan menaikkan seri wajah agar orang yang melihatnya terpesona. Persoalannya, apakah dibenarkan di dalam Islam? 

Menurut Dr. Mohd Zohdi Mohd Amin, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), amalan-amalan yang menjadi ‘kewajipan’ buat bakal pengantin ini sebenarnya tiada nas yang sahih di dalam al-Quran dan juga hadis Rasulullah s.a.w. Amalan sebegitu hanya amalan ritual masyarakat Melayu.

Jelasnya, Islam mengajar, untuk mendapatkan seri muka perlulah dengan bersujud kepada Allah. Firman-Nya dalam surah al-Fath: 29,

Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka, kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka daripada bekas sujud…..”

Di dalam kitab tafsir karangan Ibn Kathir, bekas sujud yang dinyatakan dalam ayat tersebut menurut Rasulullah s.a.w adalah “tanda-tanda yang tampak di muka mereka adalah tanda-tanda yang baik.” (HR Bukhari).

Ibnu Kathir juga mencatat, para mujahid lain ada menyatakan tanda yang disebut Allah itu maksudnya khusyuk dan tawaduk selain kebaikan itu memiliki cahaya di hati dan wajah, keluasan dalam rezeki dan kecintaan di hati orang. Amirul Mukminin, Uthman bin Affan pernah berkata,

“Tidaklah seseorang menyembunyikan rahsia, melainkan Allah menampakkannya melalui roman mukanya dan kekeliruan-kekeliruan lisannya.”

Itulah yang dimaksudkan dengan tanda sujud yang dinyatakan Allah. Ia bukan tanda hitam di dahi. Sebaliknya ia tanda keserian wajah, sehingga orang yang memandangnya merasa tenang dan terpesona.

Dengan bersujud, mata akan bersinar sejuk, wajah kelihatan bersinar dan mengundang simpati daripada orang lain. Boleh jadi wajah itu tidak secantik atau setampan bintang filem, tetapi dek kerana sujud, orang akan mendapatkan keteduhan daripada wajah itu.

Bukan itu sahaja,  banyak bersujud kepada Allah membuatkan wajah awet muda, berbeza dengan orang yang tidak pernah bersujud, atau bersolat, akan kelihatan lebih tua daripada usia sebenar. Maka, ketahuilah bahawa setiap orang akan terkesan pada pandangan pertama, dan pandangan pertama itu tidak lain adalah pandangan wajah.

Disebabkan itulah, Mohd Zohdi memberitahu ada sesetengah hamba, walaupun berkulit gelap tetapi wajahnya sangat tenang apabila dipandang. Seperti contoh orang India yang baru memeluk agama Islam, tetapi bersungguh-sungguh sujud dan beriman kepada Allah, maka wajahnya akan menimbulkan ketenangan ketika dipandang oleh orang lain. Keinginan untuk memandang lagi kepadanya akan bercambah. Wallahu a’lam

_________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare