PERNAHKAH anda bertemu dengan orang yang mempunyai mulut lebar sehingga mampu memuatkan satu tin minuman ke dalam mulutnya? Kedengaran pelik, bukan? Tapi, manusia begini memang wujud.

Seorang lelaki bernama Francisco Domingo Joaquim dari Angola pernah diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness pada tahun 2010 sebagai manusia yang mempunyai mulut terlebar di dunia. Ya, lelaki kulit hitam ini mampu memasukkan tin minuman ke dalam mulutnya yang luas itu.

Francisco mampu menarik mulutnya dengan tangan sehingga mencapai kelebaran 6.69 inci iaitu bersamaan 17 sentimeter. Disebabkan kebolehannya itu, Francisco diberi jolokan ‘The Mask’ yang digambarkan boleh membuka mulutnya dengan luas.

Francisco Domingo.

Bakat Francisco ini telah ditemui oleh para penyelidik rekod Guinness apabila dia memuat naik videonya ke Internet, namun mereka mengambil masa dua tahun sebelum berjaya menjejakinya.

Francisco kemudian dijemput rekod Guinness ke Itali pada Mac 2010 untuk melakukan ukuran mulutnya itu. Dengan keistimewaan mulutnya yang elastik dan mampu diregangkan ke semua arah, Francisco telah dinobatkan sebagai manusia yang mempunyai mulut paling lebar di dunia oleh rekod Guinness pada tahun 2011.

Francisco mempunyai mulut yang lebar dan elastik.

Sebelum itu, lelaki ini memang menyedari mulutnya agak lebar berbanding orang lain, tetapi sangkanya ia hanya perkara biasa. Bagaimanapun, selepas dia mampu memasukkan barangan seperti cawan, batang besi dan tin minuman ringan ke dalam mulut, barulah dia menyedari kelebihannya.

Sebelum ditemui rekod Guinness, Francisco selalu membuat persembahan dengan pelbagai aksi mulutnya itu di sekitar pusat beli belah di Angola.

Lelaki ini mampu melakukan aksi memasukkan tin minuman ringan tersebut sebanyak 14 kali dalam tempoh satu minit. Malah, selepas memasukkan tin minuman itu, mulut Francisco masih mempunyai ruang dan dia boleh memusingkan tin itu menggunakan lidahnya.

Sebelum Francisco, rekod tersebut dipegang oleh Marco Hort yang berasal dari Switzerland setelah berjaya memasukkan sekali gus 264 batang straw ke dalam mulutnya dan mampu bertahan selama sepuluh saat.

Sebelum Francisco, rekod mulut terluas dipegang oleh Marco.

Namun, kelebihan Marco berbeza dengan Francisco. Menurut Marco, keupayaan menjadikan mulutnya selebar itu adalah daripada latihan yang dilakukannya setiap hari. Berlainan pula dengan Francisco yang mempunyai keupayaan semula jadi melebarkan mulutnya.

Marco menjelaskan, sebelum dia mampu memasukkan ratusan straw ke dalam mulutnya, dia membuat latihan menguatkan mulut. Pada peringkat awal mencuba, mulutnya terasa kejang dan ngilu.

Hanya setelah sekian lama berusaha, barulah Marco berjaya menempatkan namanya dalam rekod Guinness pada tahun 2005, sebelum akhirnya dikalahkan oleh Francisco.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/