Gambar Hiasan.

PENYAKIT tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang semakin menular merekodkan peningkatan ketara di Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai pertengahan Mac hingga hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr. Nor’ Aishah Abu Bakar memaklumkan, kadar jangkitan HFMD di kedua-dua wilayah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 14 kali ganda berbanding tahun lalu.

Menurut beliau, jumlah jangkitan kes penyakit tersebut pada minggu epidemiologi (ME) 2021 hanya sebanyak 403 kes.

Bagaimanapun, pada hari terakhir ME 20 tahun ini iaitu pada 21 Mei 2022, sejumlah 6,197 kes HFMD telah dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Jumlah kes mingguan dilaporkan pada ME 20 adalah 1,163 kes berbanding 1,138 pada ME 19 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 2.2 peratus.

“Sehingga ME 20, sebanyak 408 wabak telah dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya berbanding 32 wabak dalam tempoh sama pada tahun 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 13 kali ganda.

“Kejadian kes HFMD dikategorikan sebagai wabak apabila berlaku dua atau lebih kes dalam tempoh inkubasi yang sama dan di lokaliti yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: HFMD: 12 premis ditutup, 91.4 peratus kanak-kanak terima rawatan

Mengulas lanjut, Dr. Nor’ Aishah berkata, jangkitan HFMD cepat menular terutama dalam kalangan kanak-kanak sekiranya mempunyai kontak dengan kanak-kanak yang telah dijangkiti penyakit itu.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan iaitu ulser di mulut, ruam atau lepuh di tangan serta kaki supaya tidak membawa anak ke tempat-tempat awam termasuk taska, tadika atau sekolah.

Selain itu, jelas beliau, ibu bapa juga dinasihatkan membawa anak yang bergejala segera berjumpa doktor untuk rawatan dan nasihat serta menggunakan peralatan makanan serta minuman berasingan dan tidak berkongsi barang dengan anak yang lain.

“Pengusaha taska atau tadika serta rumah pengasuh juga disarankan supaya melakukan saringan di pintu masuk bagi memastikan hanya kanak-kanak tiada gejala memasuki premis dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain.

“Semua golongan masyarakat juga digalakkan untuk terus mengamalkan kebersihan diri dan mencuci tangan menggunakan sabun serta air selepas ke tandas; selepas menukar lampin; selepas menyentuh, merawat ruam atau lepuh jangkitan dan semasa mencuci najis kanak-kanak.

“Masyarakat juga perlu memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul manakala lantai rumah terutama tandas dibersihkan menggunakan disinfektan berasaskan klorin,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram