MAMPUKAH anda melihat sesuatu pemandangan, lalu melukisnya secara terperinci di atas kertas melalui ingatan tersebut? Sudah tentu sukar, tetapi seorang lelaki dari kota London mempunyai kehebatan tersebut.

Stephen Wiltshire diiktiraf sebagai satu-satunya manusia yang mempunyai kemahiran memori fotografi paling sempurna di dunia.

Kebolehan tersebut membolehkannya melukis secara manual pemandangan sebuah kota besar dalam skala yang sangat terperinci, dengan hanya melihatnya dalam masa beberapa minit sahaja. Hebat!

Stephen Wiltshire, manusia yang mempunyai memori yang hebat dengan kemahiran melukis.

Kedengaran seperti tidak masuk akal, tetapi itulah bakat luar biasa yang dimiliki oleh lelaki kulit hitam berusia 48 tahun ini. Dengan hanya memerhati dalam jangka masa yang singkat, beliau mampu mengingati segenap pelosok ruang landskap sebuah kota besar seperti New York, Paris atau Tokyo.

Apa yang lebih mengagumkan, memori tersebut dapat diaplikasikan oleh Wiltshire ke dalam bentuk lukisan tangan. Kombinasi di antara bakat melukis dan kekuatan memorinya untuk mengingati sebuah landskap membuatkan dia digelar sebagai ‘kamera bergerak’.

Lukisan yang dihasilkannya tampak ‘hidup’ dan boleh dikatakan hampir sempurna untuk seorang manusia.

Tanpa bantuan gambar atau sebarang teknologi, hasil karyanya sangat terperinci, baik dari segi nisbah skala ataupun susun atur sesebuah bangunan. Lokasi serta kedudukan setiap pencakar langit, rumah, bahkan sehingga jumlah jendela dan perkara-perkara remeh lain seperti kedudukan pili bomba dalam lingkungan sebuah kota raya yang besar dengan keluasan lebih 10 kilometer persegi, beliau dapat mengingatinya dengan baik.

Karya Wiltshire hampir sempurna.
Lukisannya begitu terperinci.

Lukisan landskap pertama yang dihasilkan Wiltshire ialah pemandangan kota London semasa beliau berusia 11 tahun. Bagaimanapun, pada ketika itu ramai yang mempertikaikan kebolehan ingatannya kerana ibu kota England itu merupakan tempat beliau membesar dan tidak mustahil beliau mampu mengingati landskapnya dengan baik.

Pada bulan Mei 2005, iaitu ketika berusia 31 tahun, beliau sekali lagi menghasilkan sebuah lukisan landskap pemandangan sebuah kota. Kali ini, beliau memilih Tokyo, Jepun sebagai subjek lukisannya.

Selepas menaiki helikopter selama setengah jam untuk memerhatikan landskap kota metropolitan Tokyo yang kompleks, beliau melukis semula pemandangan tersebut ke atas kanvas yang berukuran sepuluh kaki. Lukisan tersebut mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan.

Wiltshire melukis kota Tokyo yang kompleks hanya selepas memerhatikan landskap kota tersebut selama setengah jam.

Selepas lukisan panorama bandar raya Tokyo itu diklasifikasikan sebagai berjaya, beliau telah memilih kota-kota besar dunia yang lain untuk menjadi subjek lukisannya. Antaranya ialah Rom, Hong Kong, Frankfurt, Madrid, Dubai, Jerussalem, Sydney dan Shanghai. Kesemua karya yang dihasilkan telah diiktiraf dan turut dijadikan sebagai material penting dalam beberapa siri pameran lukisan terbaik dunia.

Dengan kebolehan luar biasanya itu, pada tahun 2009, beliau telah dilantik sebagai duta Hari Kesenian Kanak-Kanak di United Kingdom. Dalam tahun yang sama juga, beliau telah menyiapkan gabungan pemandangan bandar New Jersey, Manhattan, Ellis Island, Status of Liberty dan Brooklyn di atas kanvas gergasi berukuran 18 kaki. Lukisan tersebut telah dihasilkan di Pratt Institute, sebuah kolej seni dan reka bentuk terkemuka dunia yang terletak di New York, Amerika Syarikat.

Jika diimbas kehidupannya, Wiltshire merupakan seorang pesakit autisme sejak kecil. Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut ketika berusia tiga tahun.

Ketika mana kanak-kanak lain menjalani kehidupan yang aktif, Wiltshire pula adalah sebaliknya. Malah, dia juga pernah dikatakan bisu kerana tidak boleh bercakap. Pada usianya lima tahun, dia masih tidak boleh bertutur dan hanya berkomunikasi menggunakan lukisan. Ketika itulah bakat melukisnya mula dikesan.

Sementara itu, menurut Pakar Neuronsains dari Universiti Cambridge, Profesor Simon Baron Cohen, berkemungkinan kecacatan neurologi seperti autisme yang dialami oleh Wiltshire menjadi penyumbang utama kepada kekuatan memorinya.

Ini kerana separuh daripada kanak-kanak autistik sebenarnya mengalami sindrom savant atau cendekiawan. Golongan ini mempunyai IQ antara 60 hingga 70 sahaja, tetapi menampilkan keupayaan luar biasa dalam bidang tertentu seperti matematik, menghafal (memori) atau kesenian (muzik dan lukisan).

Bagaimanapun, bukan semua yang memiliki kehebatan minda ini adalah dari kalangan mereka yang mengalami disfungsi otak. Jika berlaku sekali pun ia merupakan kes-kes terpencil dan peratusannya sangat kecil.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/