Malaysia memulakan kempen Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 dengan bergaya selepas menumbangkan Oman 7-0, hari ini. GAMBAR: Konfederasi Hoki Malaysia

SKUAD hoki lelaki kebangsaan memulakan aksi pembukaan Kejohanan Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia dengan penuh bergaya selepas membelasah Oman 7-0, hari ini.

Dalam perlawanan di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu, pemain pertahanan Muhammad Razie Abd Rahim muncul wira, apabila mencetak hatrik sekali gus membantu mengutip tiga mata pertama buat pasukan negara yang diletakkan dalam Kumpulan B.

Babak pertama perlawanan skuad bimbingan A Arul Selvaraj membuka jaringan hasil pukulan sudut penalti Muhammad Razie pada minit keenam.

Muhammad Razie terus mengukir kegembiraan skuad negara selepas menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-13 hasil pukulan sudut penalti.

Babak kedua perlawanan, pasukan Oman dibimbing Lim Chiow Chuan terus dihukum selepas Muhammad Razie menjaringkan gol ketiga juga hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-19.

Baca artikel berkaitan: Legenda hoki negara, Yahya Atan meninggal dunia

Pemain tengah Faizal Saari kemudian memberi keselesaan buat pasukan selepas menjaringkan gol padang pada minit ke-23 menjadikan kedudukan 4-0 meninggalkan Oman.

Pada minit ke-34, giliran Muhammad Shahril Saabah menambah gol buat negara menerusi jaringan padang.

Skuad negara dalam masa sama menambah dua lagi gol menerusi Faiz Helmi Jali pada minit ke-40 dan Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-48 masing-masing hasil gol padang bagi menoktahkan kemenangan buat negara.

Malaysia akan meneruskan cabaran berdepan pasukan Korea Selatan esok, sebelum bertemu Bangladesh pada Khamis ini dalam saingan Kumpulan B.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram