PELAKON Amar Asyraf memilih privasi susulan dakwaan dirinya telah berkahwin buat kali ketiga.
Menurut Amar, atau nama penuhnya Amar Asyraf Zailuddin, 35, dia memilih untuk tidak berkongsi tentang status rumah tangganya kini dan berpegang kepada kata para ulama mengenai perkara yang tidak harus dikongsikan termasuklah kisah keluarga.
“Saya sebenarnya tak ada apa nak cakap atau beritahu apa-apa. Bagi saya, bukan nak merahsiakan tapi lebih memilih untuk privasi apabila melibatkan hal rumah tangga.
“Apa yang terjadi sebelum ini memberi pengajaran kepada saya. Jadi, saya tidak mahu berkongsi apa-apa mengenai kehidupan peribadi. Tapi kalau ada yang tahu, tahu la.
“Lagipun, saya berpegang dengan kata-kata beberapa ulama yang beritahu tak boleh kongsi usia, harta dan kisah keluarga kepada umum,” katanya memetik laporan Mstar.
Untuk rekod, pelakon drama Daulat itu hangat dikatakan berkahwin baru dengan wanita yang dikenali sebagai Farhana Yusof menerusi tinjauan foto yang dimuat naik pada Instagram yang dipercayai milik ibu pelakon itu pada 19 Mac yang lalu di mana kedua individu itu kelihatan mengenakan busana berwarna putih.
Selain itu, memetik laporan Harian Metro, salah seorang adik-beradik Farhana memuat naik foto keluarga mereka menyambut Aidilfitri baru-baru ini di mana kelihatan Amar berada di sebelah Farhana manakala dua anaknya iaitu Muhammad Taufiq dan Ammara Dian turut berada dalam foto itu.
Lebih menguatkan spekulasi, pelakon tersebut juga mengikuti akaun peribadi Farhana dan mereka juga dikatakan sedang menjalankan sebuah perniagaan bersama.
Sebelum ini, Amar Asyraf pernah mendirikan rumah tangga selama dua kali iaitu bersama Arna Salleh pada 7 Jun 2013 dan Vivy Jeffry pada Oktober 2019.
Namun malangnya, rumah tangga Amar bersama isteri keduanya menemui titik penamat apabila mereka hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu untuk membuat pengesahan lafaz cerai talak tiga.
Hasil perkahwinan Amar bersama isteri pertamanya, mereka memiliki sepasang cahaya mata iaitu Muhammad Taufiq dan Ammara Dian manakala bersama isteri keduanya itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Mikhail.