tidur juga dianggap ibadah

Firman Allah s.w.t. surah ar-Rom: 23, “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran Nya) ialah tidurmu pada waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebahagian daripada kurniaan Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengar.”

Itu sunnatullah. Malam sebagai waktu untuk beristirahat bagi menyempurnakan hak tubuh. Manakala siang pula waktu yang ditetapkan untuk mencari kurniaan Allah. Sabda Baginda s.a.w.

“Sesungguhnya tubuhmu punya hak atas dirimu. Kedua matamu memiliki hak atas dirimu.” (HR Bukhari & Muslim)

Lalu bagaimana dengan hak tubuh untuk istirahat? Bagi Muslim, seluruh aktiviti yang dilakukan adalah ibadah selama mana aktiviti itu bertujuan untuk mencari keredaan Allah, melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Ini termasuklah tidur atau istirahat bagi memenuhi hak tubuh.

Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirahat padanya, dan (menjadikan) siang terang benderang (supaya kamu mencari kurniaan Allah). Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang mendengar” (surah Yunus :67)  

Menjaga kesihatan adalah satu tuntutan dalam Islam kerana ia memenuhi keperluan maqasid syariah, itu jelas. Walau bagaimanapun apabila budaya riadah lewat malam menjadi amalan yang semakin diterima dalam masyarakat kita hari ini, secara langsung ia memberi implikasi yang kurang baik dan tidak normal pada tubuh.

Bagi melihat implikasi melakukan riadah lewat malam seperti berjoging, bermain futsal, berbasikal dan sebagainya terhadap kesihatan, Dr. Mohd Sufian Adenan, Pegawai Perubatan Jabatan Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) berpandangan, di situ adanya sisi positif mahupun negatif yang boleh diperbincangkan.

Tuntasnya, “saya kira isu ini boleh dikaitkan dengan satu kajian perubatan yang pernah dibuat berkaitan dengan kesan individu yang bekerja waktu syif malam (sekitar jam sepuluh malam sampai ke waktu pagi). Dalam kajian itu tidak dinafikan wujud implikasi yang kurang baik terhadap tubuh.”

Dalam kajian itu dinyatakan setiap hari tubuh akan mengeluarkan sejenis hormon yang dipanggil circadian rhythm. Hormon ini bermula pada waktu awal pagi begitu aktif dengan graf menaik. Kemudian ketika sampai waktu tengah hari, ia akan mula menurun sedikit demi sedikit hinggalah pada waktu petang, ia turun dan akhirnya menjadi semakin rendah ketika sampai waktu Isyak.

Keadaan hormon itu sebenarnya adalah normal dalam diri setiap manusia. Ini kerana ia seolah-olah biasan dari cahaya matahari yang terbit awal pagi, dan hilang seusai maghrib berlabuh.

Apabila hormon menjadi semakin rendah bermakna tenaga dalam diri juga semakin menurun. Disebabkan itu seusai waktu Isyak adalah waktu yang paling sesuai untuk tidur bagi mengembalikan tenaga yang digunakan seharian. Itu merupakan proses yang normal bagi tubuh.

Elakkan melakukan aktiviti pada waktu malam kerana itu adalah waktu dan hak untuk tubuh beristirahat

Waktu istirahat atau tidur yang baik dan cukup adalah sekitar lima hingga enam jam atau tujuh hingga lapan jam, bergantung pada diri individu. Sekiranya seseorang tidur pada jam sepuluh malam, bermakna jam empat atau lima pagi ia sudah bangun dalam keadaan yang cukup segar. Tika ini jugalah, hormon circardian dalam tubuh mula naik dan menjadi aktif.

Bahkan dalam Islam, inilah waktu yang tepat disebut satu pertiga akhir malam, yang mana ia sangat digalakkan bangun melaksanakan segala ibadah-ibadah sunat seperti solat, zikir atau membaca al-Quran.  Dan, inilah juga amalan yang sering dilakukan oleh Baginda s.a.w. mahupun para sahabat salafus soleh.

Akui Dr. Sufian Adenan, pada ketika inilah juga hormon bukan sahaja menjadi aktif bahkan ia lebih sensitif pada persekitaran. Justeru itulah kita menjadi lebih fokus dan waktu paling sesuai untuk melaksanakan ibadah atau berdoa memohon kepada Allah. Wallahu a’lam

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare