Beberapa jam mengangkat sumpah pada Isnin, Albanese dan pasukannya terbang ke Tokyo menghadiri sidang kemuncak antarabangsa Quad.FOTO FACEBOOK ANTHONY ALBANESE


SABTU lalu, dominasi gabungan konservatif selama hampir sedekad di Australia tamat setelah Parti Buruh memenangi kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Persekutuan negara itu.


Walaupun Parti Buruh masih kekurangan hanya satu kerusi berbanding jumlah kerusi majoriti diperlukan iaitu 76 daripada keseluruhan 151 kerusi di Dewan Rakyat, namun pemimpin utama parti yakin akan berjaya mencapai angka tersebut.

Albanese membuang undi pada Pilihan Raya Persekutuan Australia.


KEMBALINYA PARTI BURUH


Ini kerana keputusan rasmi pemilihan itu hanya akan diketahui dalam beberapa hari lagi dengan proses pengiraan 2.7 juta undi pos sedang berjalan.


Jika gagal mendapat majoriti sekali pun, Parti Buruh masih boleh menarik sokongan ahli Parlimen Bebas dan parti kecil lain.


Namun itu bukan masalah bagi Parti Buruh membentuk kerajaan baharu pada Isnin selepas Anthony Albanese mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu Australia.


Selain Albanese, turut mengangkat sumpah ialah Timbalan Pemimpin Parti Buruh, Richard Marles dan tiga anggota kanan parti iaitu Menteri Luar, Penny Wong lahir di Malaysia, Bendahari, Jim Chalmers dan Menteri Kewangan, Katy Gallagher.


Senarai penuh barisan Kabinet Australia yang baharu hanya akan diketahui minggu depan sekembalinya Albanese dari sidang kemuncak Quad, di Jepun.


ALBANESE BUKTI KEMAMPUAN


Albanese, 59, atau nama jolokannya ‘Albo’ tidak menunggu lama untuk menyatakan kehadirannya sebagai orang nombor satu Australia kepada masyarakat dunia.


Sejurus beberapa jam mengangkat sumpah pada Isnin, beliau dan pasukannya terbang ke Tokyo menghadiri sidang kemuncak antarabangsa Quad atau kumpulan keselamatan tidak formal.


Sebelum berlepas, beliau menyatakan kesediaan Canberra untuk untuk terbabit dalam agenda perubahan iklim selain memilih rakan kongsi penting Australia.


Malah, Albanese juga berdepan misi mencabar mengenai hubungan dua hala Canberra-Beijing yang melalui fasa rumit sejak beberapa tahun lalu dan disifatkan beliau sebagai sukar.


Ini setelah hubungan antara Australia dan China, rakan dagang terbesarnya, merosot selepas kedua-dua negara bertelagah dalam beberapa isu termasuk perdagangan, asal usul COVID-19 dan tuduhan Australia mengenai campur tangan politik China.


Beijing dilihat cuba memulihkan hubungan itu apabila agensi berita Xinhua melaporkan Perdana Menteri China Li Keqiang pada Isnin menghantar ucapan tahniah kepada Albanese atas kemenangan rakan sejawatnya dalam pilihan raya.


Namun pembabitan Australia dalam Quad yang dilihat Beijing sebagai percubaan untuk menentang pengaruh China yang semakin meningkat di rantau Indo-Pasifik mungkin merosakkan usaha itu.


TUGAS BERAT MENANTI ALBANESE


Di sebalik usaha Albanese mengukuhkan pengaruhnya di mata dunia, namun tugas besar menanti Perdana Menteri Australia ke-31 itu sekembalinya dari Jepun.


Menurut abc.net, Albanese berdepan tugas getir memulihkan ekonomi Australia apabila kerajaan terdahulu tidak pernah sekali pun menghasilkan lebihan bajet malah hutang negara turut meningkat dua kali ganda walaupun sebelum Covid-19 melanda.


Kenaikan harga minyak global juga dilihat meningkatkan kos kehidupan rakyat yang perlu ditangani segera kerajaan.


Beliau juga perlu menunaikan janji-janji pilihan raya dibuatnya termasuk untuk mengatasi perubahan iklim, meningkatkan produktiviti ekonomi untuk perniagaan dan gaji pekerja, penubuhan suruhanjaya integriti, peluang bagi wanita selain meningkatkan pengiktirafan buat masyarakat Asal.


Dalam ucapan sejurus kemenangannya, pemimpin Parti Buruh dari latar belakang kelas pekerja itu berjanji untuk menamatkan perpecahan dan menyatu padukan rakyat negara tersebut.


Namun katanya, beliau tidak mahu mengubah negara melainkan berhasrat menukar cara politik beroperasi di Australia.


Kata Albanese, dia juga mahukan hubungan kerjasama erat semua peringkat termasuk dari tahap negeri, wilayah serta kerajaan tempatan selain menggabungkan kesatuan sekerja, majikan dan pertubuhan lain dalam persidangan pekerjaan dalam masa terdekat.


DARI SEORANG MISKIN KEPADA PERDANA MENTERI


Profil orang nombor satu Australia ini yang berasal dari keluarga susah cukup memberi inspirasi.
Menurut Reuters, Albanese merupakan anak kepada seorang ibu tunggal yang menetap di Kota Sydney dan ada kalanya bergantung pada jiran untuk makan.


Ibunya yang tidak bekerja hanya bergantung kepada elaun orang kurang upaya.


Bergiat sebagai aktivis sejak berusia 12 tahun, Albanese pernah membantu menganjurkan demonstrasi bagi membantah perumahan awam dijual kepada pemaju.


Beliau kemudiannya menamatkan pengajian di Fakulti Ekonomi Universiti Sydney sebelum menceburi politik pada usia muda dan terpilih sebagai Presiden sayap belia Parti Buruh pada usia 22 tahun.


Albanese kemudiannya terpilih menjadi Ahli Parlimen Grayndler sejak 1996 dan pernah dilantik sebagai Menteri Infrastruktur Australia pada 2007 sehingga mengetuai Parti Buruh pada 2019.