SEBELUM tercetusnya Perang Dunia Pertama, Halifax yang terletak di Nova Scotia, Kanada hanyalah sebuah bandar pelabuhan yang agak mundur. Hanya mereka yang terlibat dengan kerja-kerja pelabuhan sahaja menetap di situ.

Tiada apa yang menarik di Halifax, melainkan hanya dipenuhi dengan deretan bangunan-bangunan kosong yang telah ditinggalkan penghuni. Kemegahan Halifax sekitar abad ke-18 dan ke-19 menjadi tinggalan sejarah selepas termeterainya perjanjian Revolusi Amerika pada 1812.

Pelan damai itu telah menetapkan satu tarif baru ke atas barangan Amerika sehingga menyebabkan tiada lagi kapal-kapal dagang berlabuh di situ, seterusnya menyebabkan ekonomi Halifax menjadi mundur.

Selama satu abad Halifax menjadi sebuah kota yang ‘hidup segan mati tak mahu’. Namun, ia berubah mendadak selepas meletusnya Perang Dunia Pertama.

Daripada sebuah daerah yang mundur, Halifax berubah menjadi bandar pelabuhan yang pesat membangun selepas tentera-tentera Bersekutu menjadikannya sebagai sebuah pelabuhan ketenteraan.

Dari sebuah kota mundur, Halifax berkembang maju dalam masa singkat setelah dijadikan pusat pelabuhan ketenteraan.
Lokasi Halifax yang strategik menjadikannya pelabuhan penting semasa Perang Dunia 1.

Lokasinya yang strategik dengan tahap kedalaman laut yang optimum dan bebas ais telah menjadikan Halifax sebuah pelabuhan penting ketika itu. Sistem keselamatan yang dikawal rapi oleh pihak tentera turut menjadi faktor mendorong pembangunan ekonomi wilayah ini. Sehinggakan, kepadatan penduduknya turut meningkat kepada lebih 50,000 orang dalam jangka waktu yang singkat.

Namun, laluan pelabuhan yang agak sempit untuk menampung pertambahan kapal-kapal yang berlabuh telah menyebabkan banyak insiden pelanggaran berlaku. Sistem pengurusan pelabuhan yang kurang teratur turut menjadi punca kepada masalah ini.

Pada 3 Disember 1917, sebuah kapal Norway SS IMO yang dalam perjalanan ke New York telah singgah di Halifax untuk melakukan pemeriksaan dan mengisi bahan bakar.

Dalam masa yang sama, sebuah kapal dari Perancis, Mont Blank yang baru tiba dari New York turut berlabuh di Halifax. Kapal ini sarat dengan muatan berbahaya seperti peluru, TNT, asid nitrik, bensol dan guncotton.

Pada pagi 6 Disember, sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Kedua-dua kapal itu telah bertembung sesama sendiri ketika limbungan penuh sesak dengan deretan kapal-kapal. Pertembungan tersebut telah menyebabkan berlakunya percikan api akibat pergeseran di antara kedua-dua kapal berkenaan.

Keadaan bertambah parah apabila muatan asid nitrik dan bensol telah menyambar percikan api itu sehingga menyebabkan kapal Mont Blank terbakar.

Api merebak terlalu pantas. Hanya dalam masa beberapa minit sahaja, kapal Mont Blank telah meletup. Dengan muatan tiga kilo ton TNT, kekuatan letupan terlalu besar sehingga menyebabkan struktur kapal Mont Blank musnah sepenuhnya.

Bandar pelabuhan ini hancur akibat letupan itu.

Kepulan asap letupan menjulang sehingga enam kilometer tinggi. Manakala gelombang letupannya bergerak hampir 23 kali kelajuan bunyi sehingga boleh dirasai di Prince Edward Island yang terletak beratus-ratus kilometer dari Halifax.

Dalam sekelip mata, daya letupan Mont Blank telah memusnahkan kawasan seluas 160 hektar. Lebih daripada 12,000 bangunan termasuk rumah kediaman musnah sama sekali. Lantai pelabuhan turut yang menjadi nadi Halifax turut musnah. Suasana bertambah parah apabila letupan tersebut turut menghasilkan ombak tsunami setinggi 18 meter.

Lebih 1,500 orang terbunuh serta-merta dan 9,000 orang dilaporkan cedera dalam tragedi itu. Manakala beribu-ribu orang lagi yang melihat kejadian letupan itu di rumah mereka menghadapi masalah penglihatan apabila gelombang letupan yang dihasilkan terlalu kuat sehingga memecahkan tingkap di hadapan mata mereka.

Insiden ini bertambah buruk apabila berlaku pada musim sejuk ketika penduduk sedang giat menyimpan rizab bahan bakar untuk menghadapi suhu di bawah takat beku. Bahan-bahan bakar ini juga turut menjadi penyumbang kepada keruntuhan kota Halifax yang musnah dalam kebakaran.

Beberapa jam selepas letupan itu berlaku, pasukan penyelamat telah bergegas ke Halifax untuk mencari mangsa-mangsa yang masih terselamat. Mereka mendapati ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan. Namun, keadaan cuaca yang semakin sejuk dan dengan salji tebal telah menyebabkan usaha menyelamat sukar dilakukan.

Walaupun angka kematian secara rasmi tidak dapat dipastikan, namun kerajaan Kanada telah menganggarkan insiden letupan itu telah meragut lebih dua ribu nyawa.

Dengan radius kemusnahan 160 hektar, anggaran keseluruhan kerugian yang terpaksa ditanggung ialah sekitar 35 juta Dollar Amerika. Ia merupakan satu nilai yang sangat besar ketika itu.

Tugu peringatan tragedi tersebut.
Bandar pelabuhan Halifax pada hari ini.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/