APA sahaja krisis sama ada kesihatan, ekonomi mahu pun politik, kesan kepada bumiputera adalah lebih parah berbanding kelompok lain.

Ini kerana Melayu dan bumiputera masih sebagai bangsa yang amat terdedah atau vulnerable dan ini memerlukan usaha bersungguh-sungguh bagi melindungi mereka.

Ambil sahaja krisis kesihatan akibat wabak COVID-19, meski pun virus itu tidak mengenal warna kulit, orang Melayu adalah kelompok paling teruk terkesan.

Begitu juga dalam sebarang krisis ekonomi termasuk pasca wabak yang mana bumiputera berdepan 1,001 macam tekanan untuk bangkit.

Dan terkini, soal keselamatan makanan yang mungkin menjerumus dunia dan negara ke arah krisis dan sekali lagi bumiputera juga menerima kesan terhebat.

Bumiputera sebagai kelompok pengguna terbesar yang juga paling ramai dalam golongan B40 berdepan tekanan perbelanjaan apabila berlakunya peningkatan kepada harga ayam dan makanan lain.

Justeru, untuk menangani ancaman kepada kemakmuran bumiputera, Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggariskan tiga jihad utama.

Dr. Hasan Mad. GAMBAR: Abd Razak Aid

Kata Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Hasan Mad, tiga jihad itu ialah Jihad Penyatuan Bangsa, Jihad Banteras Gejala Songsang dan Jihad Survival Bangsa.

Namun seiikat bak serai, bersatu teguh bercerai roboh dan pelbagai lagi kata-kata pedoman orang terdahulu, perkara pokok yang perlu diselesaikan ialah penyatuan bangsa.

Ketika ditemui UtusanTV hari ini, Dr Hasan berkata, hanya melalui penyatuan bangsa maka jihad-jihad lain boleh disusuli.

“Orang Melayu kena bersatu dulu. Kukuh dulu baru boleh laksanakan jihad-jihad lain,” kata beliau.

Memberi contoh ketidakstabilan politik yang berlaku sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi, Dr Hasan berkata, ini memberi ruang kepada puak-puak kapitalis, kartel, cauvinis dan antinasional mencetuskan pelbagai bentuk ancaman kepada kemakmuran negara.

Dunia juga dalam tempoh itu kata Dr Hasan, dihambat pelbagai krisis ekonomi, kesihatan dan terkini makanan yang mana keparahannya lebih dirasai bumiputera selaku bangsa yang masih vulnerable.

Justeru, MPM bakal menganjurkan Sidang Penyatuan Bangsa esok (25 Mei) di wisma pertubuhan itu di Jalan Ledang off Jalan Duta esok dalam menjayakan seruan jihad pertama.

Bukan sahaja NGO, tokoh terkemuka, institusi berkepentingan Melayu hadir tetapi juga pimpinan sembilan parti politik turut dijemput.

Datuk Salamon Selamat

“Kita sudah tiada masa bermain blame game, maka sidang ini juga diharap tidak terjerumus ke arah kancah permainan itu.

“Kita bersidang secara berhemah, berbudaya dan bijaksana, konsisten dengan tuntutan berjihad bersungguh-sungguh,” katanya.

Dalam pertemuan dengan UtusanTV yang dihadiri beberapa ahli jawatankuasa sidang tersebut termasuk Datuk Salamon Selamat, Datuk Seri Azmin Mustam, Shahbuddin Embun dan Syed Zikri Syed Hassan.

“Sidang ini usaha kita untuk menggabungkan pemegang taruh orang Melayu dalam pelbagai bidang bagi menghadapi cabaran yang besar ini.

“Sekurang-kurangnya kita ada titik pertemuan,” kata Salamon yang seterusnya melahirkan harapan agar ada gerakan berterusan dalam menyatukan orang Melayu.

Datuk Seri Azmin Mustam.

Bagi Azmin pula, sudah masanya bagi pemain industri ke hadapan membantu MPM dan kerajaan yang mana menerusi sidang ini semua pihak sepakat berjihad demi kebaikan Malaysia.

Baca: MPM: Sidang Penyatuan Bangsa bincang tangani ancaman kemakmuran bumiputera

“Pemain industri juga perlukan suarakan idea dan penyelesaian kepada kemelut yang dihadapi ketika ini,” katanya yang mengakui pemain industri lebih banyak melihat berbanding terlibat langsung dalam program seperti ini.

Sementara itu, Syed Zikri yang memberi fokus kepada isu keselamatan makanan berkata, keadaan pada tahun ini dijangka bertambah meruncing.

“Perlu ingat, bumiputera adalah kelompok pengguna terbesar dan pada masa sama majoriti dalam B40 adalah bumiputera juga.

“Isu ini boleh menggugat jika tidak ditangani segera. Justeru, saya amat berharap esok, para pemimpin, tokoh-tokoh dan yang lain-lain dapat duduk berbincang isu ini,” jelasnya.

Menutup pertemuan tersebut, Dr Hasan berkata, spektrum peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang baik dari segi umur, profesion dan termasuk pemain industri.

“Jadi sidang ini bukan hanya retorik. Ada antara mereka juga terlibat langsung dalam permasalahan yang dibincangkan seperti krisis makanan dan keselamatan.

“Ancaman kemakmuran ini spektrumnya luas dan ini kita akan sentuh esok sama ada ekonomi, keselamatan, pendidikan, politik dan lain-lain,” ujarnya.