PENYANYI tersohor Datuk Aishah tidak mahu memikirkan tentang jodoh namun dia hanya mampu berserah kepada Allah tentang takdir hidupnya.

Menurut penyanyi itu lagi, pengalaman setelah bercerai mematangkan dirinya untuk sentiasa berdikari dalam apa jua yang dilakukan.

“Tidak banyak perubahan dalam hidup saya, cuma tiada suami sahaja. Saya memang daripada dahulu lagi seorang yang berdikari.

“Buat masa ini saya sangat sibuk dengan anak-anak. Jika saya bosan pun saya akan buat seni anyaman saya, menyanyi serta mengaji jadi tiada masa untuk rasa sunyi dan bosan selepas tempoh pahit itu,” luahnya kepada URTV

Menurut penyanyi yang telah berkecimpung dalam dunia seni nyanyian selama 36 tahun itu, dia sebolehnya enggan berfikir untuk menerima sesiapa dalam hidupnya namun sekiranya ada dia berserah dengan ketentuan Illahi.

“Kita tidak tahu bila ajal menjemput. Tapi saya tidak juga menolak. Nanti bila saya kata tidak mahu, ada pula yang mendekat.

“Buat masa sekarang saya berasa ‘tawar’ untuk mendekati sesiapa. Tapi kita tidak tahu kuasa Allah dia boleh bolak balikkan perasaan saya.

“Anak saya dah besar dan garang, mereka cakap kalau ada calon jumpa diorang dahulu,” katanya lagi.

Ditemui ketika Majlis Pelancaran Single terbaharu Ketentuan Takdir di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya, semalam.

Dalam pada itu, Aisyah turut memberitahu tentang kehidupan sehariannya setelah bercerai.

“Apabila bercerai sekarang hati saya berkata elok seperti ini. Nak makan tidak kisah, mahu bangun atau tidak, tiada yang ambil peduli. Saya nak masak atau memesan makanan di luar tiada yang marah atau saya mahu tidur seharian pun tiada yang tegur.

“Tapi kalau lah satu hari nanti ada yang mengetuk pintu hati, saya kena fikirkan balik.
“Sebab saya ada pengalaman apabila kata tidak mahu tapi pada hujungnya lain ceritanya. Jadi saya tidak berani untuk berkata apa-apa,” ujarnya lagi.

Penyanyi ikonik lagu Pulanglah itu turut mengulas berkenaan tarikh konsertnya yang bertembung dengan konsert Anuar Zain dan Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 pada 6 Ogos depan.

Menurutnya, ia tidak seharusnya begitu kerana industri seni muzik tanah air ini tidaklah besar dan dia rela untuk menangguhkan kosertnya agar peminat dan media dapat memberi perhatian kepada penyanyi kesayangan masing-masing.

“Saya yakin dalam peminat mereka ada juga peminat saya sebab kami dalam industri sebaya. Jadi kasihan kepada para peminat akan terpecah termasuklah media.

“Kita bukan mahu pergi mengundi, media dan penonton terpaksa berpecah separuh ke sini dan separuh lagi ke sana.

“Sekarang bergantung kepada pihak pengurusan, bagi saya tiada masalah untuk menangguhkan konsert ke minggu hadapannya asalkan bukan pada tarikh yang sama.

“Industri muzik kita ini bukannya besar, jadi kita perlukan sokongan daripada peminat dan media. Memandangkan kita baru sahaja lalui fasa pandemik saya faham masing-masing sedang mencari rezeki. Jadi saya tidak kisah jika tarikh itu dianjak,” jelas Aishah.

Untuk rekod, menerusi perkahwinan pertama, Aishah dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Armand Azhari, 28.

Manakala Azhad Ahlami, 23, pula merupakan anak hasil perkahwinan kedua.

Aishah sah bercerai talak satu dengan bekas suami pada Disember tahun lalu.